Selasa, 19 Februari 2019 | 6:17pm
PELAKON, Fasha Sandha, pada sesi taklimat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Balai Berita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fasha bersederhana buat persiapan kahwin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha, mengaku bersederhana dalam membuat persiapan perkahwinannya dengan Aidil Aziz, hujung bulan depan.

Menurut bintang Teratai Kemboja itu, dia sebaliknya lebih mengutamakan kehidupan dan tanggungjawab selepas bergelar isteri.

“Setakat ini, tidak sampai 30 peratus persiapan dilakukan kerana saya memang sibuk dengan kerja lakonan.

“Lagipun saya berasakan, semua wanita yang pernah mendirikan rumah tangga atau berstatus ibu tunggal akan berfikiran sama dengan saya, iaitu lebih bersederhana jika berkahwin semula.

“Apa yang lebih penting adalah kehidupan dan tanggungjawab selepas perkahwinan, terutama dari aspek fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, di Balai Berita, di sini hari ini.

FASHA dan Aidil Aziz pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) di PICC Putrajaya. - Foto Aziah Azmee

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, 34, majlis pernikahan mereka akan diadakan di sebuah masjid di kampung halamannya di Perlis.

“Selepas itu, sebuah majlis resepsi akan turut diadakan di sana. Majlis sebelah keluarga saya diadakan secara kecil-kecilan sahaja.

“Insya-Allah, acara besar-besaran akan diadakan di Rembau, Negeri Sembilan, di sebelah keluarga Aidil,” katanya yang ditunangkan dengan pelakon terbabit pada 18 November tahun lalu.

Fasha bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci tarikh pernikahan dan persandingan mereka.

Dalam perkembangan lain, Fasha dilantik sebagai juri jemputan dan ahli panel untuk sesi uji bakat DFKL 2019 di samping Ashraf Muslim.

Berita Harian X