Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:26pm
PELAKON, Anzalna Nasir, dan suami, Mohamad Hanif Zaki. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Anzalna hadiah ibu, ayah kereta mewah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Anzalna Nasir, dan suami, Hanif Zaki, meraikan ulang tahun ketiga perkahwinan mereka dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada ibu bapa aktres itu sebagai tanda penghargaan.

Katanya, biarpun sudah mendirikan rumah tangga, jasa kedua-dua orang tua usah dilupa, selain sentiasa menghormati suami.

“Saya masih ingat ketika berbulan madu dahulu, saya membawa ibu bapa mengerjakan umrah dan kini pada ulang tahun kami yang ketiga, saya hadiahkan kereta buat mereka.

“Tak perlu tunggu kaya untuk membahagiakan ibu bapa kita. Kebahagiaan bukan terletak pada harta benda, tetapi bersandar atas sebuah ingatan tulus ikhlas.

“Terlalu banyak pengorbanan mereka dalam membesarkan kita. Sebagai anak, jangan sesekali lupa untuk berbakti walaupun sudah memiliki kehidupan sendiri,” katanya.


BAPA Anzalna, Md Nasir Ibrahim, memeriksa kereta mewah yang kemudian dihadiahkan pelakon itu kepadanya dan isteri. - Foto Instagram Anzalna

Aktres yang kini hamil cahaya mata pertama itu berkongsi kejutan manis berkenaan menerusi Instagramnya bersama video dan keterangan yang membuatkan rata-rata pengikutnya terharu.

Menerusi video yang meraih lebih 300,000 tontonan itu, pada awalnya Hanif dilihat berpura-pura menghadiahkan kereta Merchedes Benz untuk Anzalna di premis pengedar kenderaan terbabit.

Namun, ketika ayahnya yang turut mengikuti mereka ke lokasi berkenaan duduk di kerusi pemandu, Anzalna terus membuat pengakuan ia adalah hadiah untuk insan teristimewa itu.

Pelakon terbabit turut menitiskan air mata sebaik memeluk dan memaklumkan ia sebenarnya hadiah khas untuk bapanya.

Malah, ayah dan ibunya juga tidak mampu menahan rasa sebak hingga sama-sama menangis terharu.

2964 dibaca
Berita Harian X