X
Isnin, 25 Februari 2019 | 5:01pm
RAJA Ilya bahagia dipertemukan dengan lelaki yang penyayang dan memahami. Foto IG Raja Ilya
RAJA Ilya bahagia dipertemukan dengan lelaki yang penyayang dan memahami. Foto IG Raja Ilya

Raja Ilya diulit bahagia

KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Ilya mengakui, perkahwinan dengan jejaka Australia, Trent Garrett pada 23 Disember lalu banyak mengubah dirinya.

Ilya atau Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 34, berkata, hidupnya semakin bermakna apabila bertemu jodoh dengan lelaki yang memahami dan menyayanginya sepenuh hati.

“Alhamdulillah, berbanding dulu saya lebih selesa bersendirian, tetapi sekarang suami ada di sisi untuk menemani. Setiap kali ada masa terluang, banyak aktiviti yang kami lakukan bersama.

“Terasa hidup ini semakin lengkap kerana Trent tidak hanya menjadi suami, sebaliknya dia juga sahabat yang menemani ketika suka dan duka.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang penyayang. Trent membuat saya sangat bahagia melalui alam rumah tangga,” katanya.

Ilya dan Trent disatukan di kediaman saudara jejaka itu di Perth, Australia dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Pelakon filem Appalam itu juga terharu apabila peminat turut gembira dan sentiasa mendoakan kebahagiaannya setiap kali berkongsi perkembangan di Instagram.

“Saya terima pelbagai komen, malah ramai yang tumpang gembira melihat saya bahagia. Tidak sangka perkongsian di laman sosial itu turut menyuburkan bahagia di hati mereka.

“Itu sudah membuat saya terharu. Semestinya, saya juga mendoakan kebahagiaan dan kegembiraan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seni, Ilya berkata, dia tetap aktif meneruskan aktiviti lakonan, malah jadualnya padat sehingga tahun depan.

“Saya ada beberapa projek filem dan drama, selain penulisan skrip yang perlu disiapkan. Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran sehingga tahun depan.

“Cuma, saya perlu membahagikan masa untuk bersama suami jika dia mempunyai urusan perniagaan di Australia. Setakat ini, semua perancangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Berita Harian X