Jumaat, 1 March 2019 | 8:03pm
BELLA inginkan ketenangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kemelut rumah tangganya bersama Aliff Aziz. - Foto Zaidi Mohamad

Bella perlu masa buat keputusan terbaik

KUALA LUMPUR: Isteri Aliff Aziz, Bella Astillah, 25, memerlukan masa untuk bertenang sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kemelut rumah tangganya bersama penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu.

“Saya memerlukan masa sebelum memutuskan apa-apa, selepas ini. Saya juga harus membuat pertimbangan yang wajar demi kehidupan pada masa akan datang.

“Dalam keadaan sekarang, saya perlu bertenang. Saya risau ada sahaja yang tidak betul jika sesuatu keputusan dibuat sekarang,” katanya kepada BH Online.

Bella berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya membabitkan rumah tangga selepas sekali lagi terbabit dalam kontroversi apabila Aliff, 28, didakwa menjalinkan hubungan bersama pelakon gandingannya dalam telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya, Oktovia Manrose.

Bella mendakwa menerima kiriman rakaman video daripada seseorang menerusi Instagramnya, yang menunjukkan kedua-duanya keluar berhibur di sebuah kelab di kawasan Bukit Bintang, awal pagi 27 Februari lalu.


PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah juga mengakui sudah bertemu dengan Oktovia, semalam. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak memperincikan butiran pertemuan yang turut dihadiri anggota keluarga masing-masing.

“Ya, saya sudah berjumpa dengan Via (Oktovia), semalam. Saya juga ada bertemu Aliff, sebelum itu. Saya menunjukkan video terbabit kepada mereka.

“Via sendiri ada memohon maaf. Cuma itu sahaja saya boleh cakap. Mungkin selebihnya boleh ditanya kepada mereka sendiri. Soal saya dengan Aliff pun belum dibincang dengan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, dalam entri terbaru di Instagram, Bella berkata, ramai yang memberikan pandangan masing-masing terhadap perkongsiannya mengenai kemelut melanda dirinya dan suami.

Mengakui dirinya tidak terlepas daripada membuat kesilapan, Bella turut meminta maaf andai ada pihak tersinggung dengan caranya itu.

“Semoga ramai yang menjadikan (perkara) ini sebagai iktibar kerana ada wanita yang takut untuk bersuara,” katanya yang mengaku lega apabila mengetahui perkara sebenar dan juga selepas bersemuka serta adanya permohonan maaf.


Oktovia dikecam hebat gara-gara dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz. Foto NSTP

Sebelum itu, ibu Aliff, Siti Hafiza Sheikh Mohamad, memuat naik status di Instagram yang seakan-akan menyatakan pandangannya terhadap situasi menimpa rumah tangga anaknya dengan Bella.

Hafiza meminta anak dan menantunya bermuhasabah diri saat melalui kemelut perkahwinan.

"Fikir-fikirkanlah dan bermuhasabah diri kerana niat tidak akan dapat menghalalkan cara. Terlajak perahu boleh ditarik balik, tetapi terlajak kata sangat buruk padahnya.

"Bisikan syaitan sangat halus di hati dan minda manusia. Hanya iman yang dapat menyelamatkan kita," tulisnya.

Status itu dimuat naik bersama foto tulisan berkaitan hal membuka aib orang lain.


STATUS ibu Aliff, Siti Hafiza Sheikh Mohamad, di Instagram, hari ini.

Sebelum ini, Aliff pernah mengecewakan hati isterinya pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir.

Bagaimanapun, ketika itu Bella memaafkan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean, pada 8 Julai 2017.

2550 dibaca
Berita Harian X