Selasa, 5 March 2019 | 11:00am
Hazama tidak kisah jika teman-teman sering bertanya soal anak selepas lebih dua tahun mendirikan rumah tangga dengan Genervie. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

'Kurniakan anak jika kami layak'

KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata, Hazama dan isteri, Genervie tidak berputus asa.

Tidak pernah melatah jika soal zuriat dibangkitkan teman mahupun saudara-mara, Hazama berkata, selepas berkahwin, dia lebih matang menghadapi persoalan hidup termasuk isu anak.

Hazama memberitahu, dia percaya kepada ketentuan Allah.

“Saya dan isteri masih mencuba dan sentiasa berdoa jika kami layak bergelar ibu bapa, kurniakanlah kami cahaya mata.

“Sekiranya kami tidak layak, tolong jangan kurniakan... Berikanlah (anak) apabila kami betul-betul sudah bersedia,” katanya kepada BH Online.

Hazama atau nama penuhnya, Hazama Ahmad Azmi, 34, berkahwin dengan Genervie Kam pada 15 Januari 2017.

Tambah Hazama, dia tidak mahu dianggap mahu memiliki zuriat hanya kerana teman-teman lain sudah beranak-pinak.

“Saya tak mahu orang kata teringin anak kerana trend kawan-kawan yang sudah ada cahaya mata.

“Pasal zuriat, saya mahukan anak disebabkan tanggungjawab diberi Allah,” katanya.

Hazama berkata, selepas berstatus suami, dia sedar tanggungjawab lebih besar dan menjadikan dirinya lebih kuat.

Selain itu, Hazama tidak suka menunjukkan kebahagiaan rumah tangga di laman sosial.

“Saya lebih suka eksklusif di mana saya akan berkongsi pada hari penting sahaja.

“Saya tidak mahu orang ramai fokus pada kehidupan peribadi saya. Itu bukan tujuan saya berada dalam industri.

“Namun, ini bukan bermakna saya bersembunyi, cuma apabila perlu, saya akan muat naik entri,” katanya sambil menambah isterinya cukup memahami dan sentiasa membantu dirinya dalam apa sahaja keadaan.

Dalam perkembangan lain, Hazama akan muncul dengan filem berjudul Tiada Tajuk arahan pertama Mawi yang akan ditayangkan pada 4 April depan.

Melakonkan watak Abadi dalam filem bergenre Islamik komedi itu, Hazama berganding dengan Along Cham dan Joey Daud.

“Selain Tiada Tajuk, saya juga akan tampil dengan filem Rock 4 yang akan menjengah pawagam, Ogos depan.

“Saya sibuk menyiapkan filem dan drama sepanjang tahun lalu hingga tiada masa untuk memberi fokus kepada pembikinan lagu.

“Tahun ini, insya-Allah, saya mahu kembali fokus kepada karier sebagai penyanyi. Saya juga mahu menyelesaikan proses pembikinan album,” katanya yang ketika ini bergerak bebas tanpa diwakili syarikat pengurusan.

Hazama berkata, sebagai permulaan, single berjudul Peneman ciptaan Tam Spider akan dilancarkan, bulan depan.

2380 dibaca
Berita Harian X