Rabu, 6 March 2019 | 1:00pm
Nonny mengaku single baharu yang diberi judul sementara, Runtuh ada kaitan dengan kisah hidupnya. Foto IG Nonny Nadirah

'Runtuh' rungkai kisah sedih Nonny

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun ‘diperap’, Nonny Nadirah sedia mempromosikan lagu ciptaan Fynn Jamal yang dirakamkan sebagai bukti dia tidak pernah melupakan dunia nyanyian.

Rakaman video seminit lagu yang diberi judul sementara, Runtuh itu sudah dimuat naik Nonny di Instagram. Visual klip video berkenaan diambil daripada pengalaman Nonny mengerjakan umrah, beberapa bulan lalu.

Nonny atau nama sebenarnya, Nonny Nadirah Zainuddin, 29, memberitahu, single berkenaan sudah dirakamkan sepenuhnya dan sedia untuk dilancarkan.

“Kalau diizinkan, saya mahu mempromosikan lagu ini secepat mungkin.

“Pada asalnya, lagu ini ditujukan untuk arwah bapa saya. Namun, kalau diperhatikan, pada akhir lagu ini, kena pula dengan diri sendiri dan situasi dilalui sekarang.

“Jadi lagu ini sangat bermakna buat saya,” katanya kepada BH Online.

Menyifatkan lagu itu sebagai karya indah, Nonny berterima kasih kepada Fynn.

“Terima kasih buat insan yang saya panggil kakak kerana sudi mencipta karya yang sangat indah dan tak ternilai harganya.

“Saya harap lagu ini akan mendapat tempat di hati peminat dan bermanfaat untuk semua. Semoga Tuhan membalas jasa kakak dan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, dalam pengakuannya kepada BH Online, Nonny mengesahkan dia sudah bercerai dengan bekas suami, Mustain Adnan.

Enggan mendedahkan tarikh perpisahan mereka, Nonny mengaku, berat untuk dia meluahkan perkara itu kepada umum.

Atas alasan itu, Nonny membiarkan spekulasi bertebaran sejak dia dan Mustain memadam semua gambar serta video mereka di Instagram.

Spekulasi keretakan rumah tangga mereka terus diperkatakan apabila bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kelima ini berangkat ke Tanah Suci Makkah tanpa Mustain sebagai muhrim, sebaliknya Nonny ditemani bapa saudaranya.

Sepatutnya, Nonny dan Mustain meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 18 Mac ini.

Berita Harian X