Ahad, 10 March 2019 | 5:41pm
Fasha dan Aidil bakal disatukan di Perlis, akhir bulan ini. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Tunggu kad undangan kami sampai'

PETALING JAYA: Bakal disatukan akhir bulan ini, pelakon Fasha Sandha mengakui, kesibukan tugas membataskan dirinya membuat persiapan menjelang hari bahagianya dengan Aidil Aziz.

Belum bersedia untuk berkongsi tarikh disatukan, Fasha, 35, berkata masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan, namun yakin majlis pernikahan mereka akan berjalan seperti dirancang.

“Memang kami ada menggunakan khidmat perunding perkahwinan, tetapi ada beberapa lagi perkara yang perlu diselesaikan, memandangkan saya agak teliti dan cerewet.

“Saya pula sangat sibuk, apatah lagi perlu kerap berulang-alik ke Perlis untuk menguruskan majlis. Mengenai tarikh pernikahan, tunggulah saya sendiri yang akan edarkan kad jemputan nanti.

“Persiapan di sebelah Aidil sudah berjalan dan majlis di Rembau, Negeri Sembilan akan diadakan pada 6 April ini dengan 5,000 jemputan,” katanya ketika pada acara jerayawara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini.

Sementara itu, Aidil, 32, yang ditemui pada acara sama enggan memberi tekanan kepada bakal isterinya kerana memahami kesibukan wanita itu.

Aidil berkata, dia berharap majlis pernikahan mereka nanti akan berjalan lancar dan dipermudahkan.

Aidil yang kali pertama mendirikan rumah tangga mengakui, sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memikul tanggungjawab sebagai suami serta bapa kepada dua anak Fasha.

“Saya mengharapkan doa daripada semua supaya majlis berjalan dengan lancar dan ikatan yang kami bina ini berkekalan hingga ke jannah.

“Memandangkan ini pengalaman pertama menempuh alam rumah tangga, saya banyak bertanya dengan mereka yang lebih berpengalaman. Fasha juga banyak berkongsi pengalamannya sebelum ini.

“Tanggungjawab saya besar kerana selain menjadi ketua keluarga, saya juga perlu menguruskan anak. Banyak yang saya kena faham untuk memastikan perjalanan rumah tangga kami nanti lancar," katanya yang akan membintangi drama bersiri, Hero.

Aidil bagaimanapun mengakui, semakin selesa dan akrab dengan dua anak Fasha, Putri Raysha Jemaima, 4, serta Putra Rayfal Ramli, 5, malah sudah memahami sikap mereka.

Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan pada 18 November lalu selepas berkenalan ketika bergandingan dalam sitkom, Mamu Mami Gosip.

Berita Harian X