Isnin, 11 March 2019 | 9:00am
Rancang berbulan madu di Santorini selepas Aidilfitri nanti, Mona Allen tak kekok berlakon di sisi suami. Foto Hafiz Sohaimi
Rancang berbulan madu di Santorini selepas Aidilfitri nanti, Mona Allen tak kekok berlakon di sisi suami. Foto Hafiz Sohaimi

Bukan sorok, cuma tak hebah - Mona Allen

PETALING JAYA: Lebih tiga bulan melayari alam rumah tangga, pelakon Mona Allen mengakui, dirinya bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri.

Disatukan dengan pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim pada 7 Disember lalu, Mona atau atau nama sebenarnya, Munna Hafiraneza Allen, 34, berkata dia

tidak kisah apabila ada pihak beranggapan mereka cuba menyembunyikan perkahwinan.

Mona yang ditemui pada sesi jerayawara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini berkata, mereka sepakat untuk disatukan selepas dua tahun menyulam cinta.

“Mungkin sebab ramai yang tidak tahu mengenai hubungan kami, membuatkan ada yang beranggapan kami bernikah tergesa-gesa dan menyorokkan perkahwinan.

“Kami tidak berahsia kerana ada peminat yang tahu hubungan saya dan Pekin, cuma kami tidak menggembar-gemburkannya di media massa,” katanya.

Bintang drama Dia Menantu Rahsia itu berkata, mereka sepakat tidak mengadakan resepsi, sebaliknya hanya majlis pernikahan dan disusuli bertandang ke rumah pengantin lelaki yang turut diadakan pada Disember lalu.

“Itu saja majlis kami. Selepas nikah, ada kenduri sedikit, disusuli majlis bertandang di Kelantan. Memang kami merancang untuk mengadakan majlis sebegitu kerana memenuhi permintaan keluarga yang mahukan kami bersederhana.

“Bukan sorok, cuma majlis kecil-kecilan memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja. Selesai majlis, kami terus sambung kerja dan belum sempat berbulan madu,” katanya.

Mona terpaut dengan perwatakan Pekin yang kelakar dan merendah diri. Foto Ihsan Mona Allen
Mona terpaut dengan perwatakan Pekin yang kelakar dan merendah diri. Foto Ihsan Mona Allen

Mona berkata, dia menyenangi sikap Pekin yang merendah diri, kelakar dan penyayang, membuatkan hatinya terpaut untuk memilih jejaka itu sebagai pasangan hidup.

Pelakon yang kembali menyerlah menerusi drama Monalisa itu juga tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon dengan suaminya.

Bakal bergandingan dalam sebuah filem arahan Pekin hasil kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia pada tahun ini, Mona berharap, diberi lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan suaminya kelak.

“Saya berharap kerjasama ini akan menjadi permulaan untuk kami bergandingan, sama ada sebagai pelakon atau bekerja di bawah arahannya.

“Insya-Allah, selepas raya, kami merancang untuk berbulan madu di Santorini, Greece. Kami tiada perancangan mengenai cahaya mata dan kalau ada rezeki, kami terima,” katanya.

Berita Harian X