Selasa, 12 March 2019 | 12:30pm
Hanez Suraya kini hamil lima bulan anak kedua. Foto Nurul Shafina Jemenon

Hanez Suraya alah teruk hamil anak kedua

KUALA LUMPUR: Pelakon Hanez Suraya mengakui, kehamilan keduanya agak mencabar, terutama pada trimester pertama disebabkan alahan yang teruk.

Hanez, 33, yang sedang hamil lima bulan berkata, dia juga berdepan risiko tekanan darah rendah kerana tidak mengambil daging merah dan ayam.

Pelakon yang popular menerusi drama Love You Mr Arrogant sebelum ini, pernah berdepan masalah kerisauan melampau selepas melahirkan anak sulungnya.

“Badan saya jadi lemah kerana alahan teruk ketika trimester pertama hamil. Doktor ada menasihatkan supaya saya menjaga pemakanan, termasuk mengambil daging merah dan ayam, selain makanan tambahan.

“Risau juga, terutama memikirkan diri yang sedang berbadan dua. Entahlah ada ketika saya jadi sangat gusar, lebih lagi apabila memikirkan sekarang kita mudah terdedah dengan pelbagai penyakit tanpa disedari,” katanya.

Hanez atau nama sebenarnya, Hanez Suraya Abd Aziz berkata, disebabkan terlalu risau dengan kesihatan, dia lebih suka menikmati hidangan yang dimasak sendiri.

“Saya lebih suka memasak sendiri kerana lebih mudah untuk mengawal bahan yang digunakan. Bukan bermaksud saya tidak menikmati makanan di luar, cuma saya pastikan hidangan yang disajikan tidak menggunakan perasa tambahan berlebihan,” katanya.

Hanez mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha Abd Rais pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan anak perempuan, Puteri Aleesya yang kini berusia 3 tahun.

Sementara itu, Hanez turut bersyukur rezekinya tetap murah, meskipun kelibatnya sudah lama tidak muncul dalam produksi televisyen.

Terbaru, Hanez diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk kecantikan selama setahun dan ruang itu dimanfaatkan untuk turun padang bertemu peminat yang merindui kemunculannya.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat tempat, biarpun sudah lama tidak berlakon. Saya selesa dengan tanggungjawab baharu ini dan tetap memberikan komitmen, biarpun sedang hamil.

“Mereka juga memahami, malah begitu fleksibel dengan jadual kerja saya. Meskipun nanti akan bercuti dua bulan untuk berpantang, saya tetap mempromosikan produk menggunakan platform digital,” katanya.

805 dibaca
Berita Harian X