Rabu, 13 March 2019 | 7:04pm
LUAHAN Jasmin yang kecewa apabila ada segelintir netizen mempersenda anak perempuannya. - Foto IG Jasmin Hamid
PELAKON, Jasmin Hamid, ketika hadir pada majlis tayangan filem Petta di ibu kota, Januari lalu. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Jasmin sedih sikap 'manusia berhati hitam'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Jasmin Hamid, meluahkan rasa terkilan apabila wajah anak perempuannya dipersenda di media sosial.

Lebih mengguriskan perasaannya apabila status gadis terbabit sebagai anak angkat yang selama ini tidak dikongsi bersama umum turut dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pihak.

“Sebagai ibu, pastinya akan terguris apabila anak tidak berdosa berulang kali dihina oleh manusia yang berhati hitam. Apatah lagi, anak yang dihina itu adalah seorang anak yatim dan ia membuatkan saya bangkit untuk membela nasibnya.

“Selama ini, saya menyorokkan identiti sebenar anak perempuan ini kerana sudah dianggap seperti anak sendiri biarpun saya tidak melahirkannya. Saya menjaganya sejak dia berumur empat tahun dan pastinya akan ada yang mengalirkan air mata sekiranya mengetahui kisah hidup zaman kanak-kanaknya.

“Walaupun sebelum ini, ada yang mempertikaikan mengenai saya dan anak perempuan saya, namun pendekatan mendiamkan diri diambil kerana ia tidak sampai mencela. Dia adalah amanah Allah kepada keluarga saya,” luah Jasmin yang menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus membuli anaknya di alam maya.

Jasmin berkongsi luahan itu di laman sosial Instagramnya, sebentar tadi, sebagai mengulas tindakan sesetengah netizen yang mempersenda dan menghina wajah anaknya.

Menurut Jasmin, sebagai manusia, terutama yang beragama Islam, pastinya maklum mengenai hukum mempersendakan sesama manusia. Apatah lagi, individu yang dijadikan bahan hinaan itu adalah seorang anak yatim.

“Paling menyedihkan, manusia berhati hitam itu tergolong dalam kalangan mereka yang berhijab. Pemakaian dan penampilan tidak seiring dengan akhlak yang ditonjolkan,” tulisnya.

Katanya, apabila mengenakan imej bertudung, mereka sepatutnya menunjukkan sikap sebagai Muslimah sejati, bukan sekadar berbuat demikian bagi mengikut trend atau gaya semasa.

1344 dibaca
Berita Harian X