Selasa, 19 March 2019 | 4:59pm
Badul tidak pernah ditawarkan berlakon oleh ayahnya, Allahyarham AR Tompel sekalipun watak tempelan. Foto NSTP Aizuddin Saad

Eksklusif: Siri Dua Di Sebalik Tawa Raja Lawak AR Badul

KUALA LUMPUR: Status anak pelakon dan pengarah, Allahyarham AR Tompel mendedahkan AR Badul dengan dunia produksi di Studio Merdeka.

Namun, Badul memberitahu, kelebihan dimiliki bukanlah ‘tiket’ buat dirinya dan adik-beradik terjun ke arena lakonan dengan mudah.

Malah, sejak dari kecil, arwah ayah tidak pernah membuka mulut atau meminta dirinya ‘menyelit’ dalam filem arahan mahupun sekadar watak tempelan.

“Bapa jenis orang yang tak banyak cakap. Di kaca televisyen (TV), orang nampak dia kelakar. Tapi di luar, bapa serius dan bercakap kalau perlu.

“Dia bukan bapa yang garang, cuma tegas. Masanya banyak di studio, jadi kami seronok kalau bapa ajak pergi ke tempat kerja.

“Mungkin cara itu dia mahu kami dekat dengannya. Ini kerana kalau diikutkan, dunia bapa adalah di set penggambaran hingga kebanyakan masa dihabiskan di situ.

“Masa kecil, kita tahu apa, cuma seronok sebab dapat bermain dengan anak pelakon lain.

“Namun, sepanjang mengikut bapa, tidak pernah dia ajak berlakon sama,’” kata Badul yang mencipta nama sebagai pelakon, pelawak, penulis skrip dan pengarah.

Luah Badul, ketika mula menyertai bangsawan, ada suara-suara yang memperlekehkan dirinya dengan mendakwa AR Tompel lebih bagus dan berseni.

Namun, Badul tidak ambil hati kerana percaya bakat ayahnya tiada galang ganti. Malah, sebagai anak, beliau cukup berbangga.

Mengenang zaman kecilnya, Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, yakin, suatu hari nanti, dia mampu menjadi seperti bapanya.

Biarpun tidak terbabit secara langsung dalam dunia perfileman, peluang menemani arwah bapa ke lokasi sedikit sebanyak membuka matanya terhadap lakonan.

Apatah lagi melihat cara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee bekerja. Ketika itu, P Ramlee menjadi individu yang cukup dihormati di Studio Merdeka.

“Dulu kalau mahu gambar diterbitkan dalam surat khabar pun susah. Begitu juga kalau mahu menjadi pelakon atau senang cerita, mahu ‘keluar’ TV.

“Seronok ikut bapa bekerja. Ramai orang melayan kita sebab tahu saya anak Tompel. Tapi setakat itu saja, tak pula bapa pelawa saya berlakon,” kongsinya sambil ketawa.

Badul memberitahu, pada zaman dulu, semua orang menghormati pengarah. Malah, ibaratnya, kalau rokok P Ramlee terjatuh, ramai berkejar-kejar untuk mengambilnya.

“Memang kita tak boleh bandingkan isu kebendaan era dulu dan sekarang. Tapi daripada segi sikap, ia masih relevan. Ini kerana pada zaman P Ramlee, pelakon sangat memandang tinggi kepada sutradara.

“Apabila sutradara bagi arahan, mereka tidak mempersoalkan kewajaran apatah lagi menunjukkan amarah jika tidak berpuas hati.

“Saya tengok, baik bapa mahu pun P Ramlee, kalau mereka masuk saja di set, pelakon dan petugas sudah bersedia untuk terus memulakan kerja.

“Bukanlah bermakna mereka perlu disanjung sampai ke tempat kerja, tetapi hakikatnya budaya menghormati pengkarya cukup tebal ketika itu,” ulasnya.

Sambil menarik nafas panjang, Badul yang menggunakan panggilan ketika kecil sebagai nama pentas, terkenang zaman kecil bermain di rumah P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Badul turut melihat kegigihan seniman serba boleh itu menghabiskan masa bekerja di rumah terutama menulis skrip.

“Saya kerap ke rumah P Ramlee sebab adik saya, Armali (anak Tompel dengan Saloma) tinggal di sana. Kebetulan saya juga berkawan rapat dengan Nasir.

“Kami suka main bersama-sama. Jadi saya nampak cara beliau bekerja hampir sama dengan bapa. Habis bekerja memang terus balik rumah tetapi di rumah, arwah sambung pula dengan menulis skrip,” katanya.

Berita Harian X