Rabu, 20 March 2019 | 3:11pm
Bagi AR Badul, pelawak tidak perlu memiliki watak 'gila-gila' apabila di luar atau menjadikan semua perkara sebagai jenaka. - NSTP/Munira Abdul Ghani
Bagi AR Badul, pelawak tidak perlu memiliki watak 'gila-gila' apabila di luar atau menjadikan semua perkara sebagai jenaka. - NSTP/Munira Abdul Ghani

Eksklusif: Siri Akhir Laporan Khas Di Sebalik Tawa Raja Lawak AR Badul

KUALA LUMPUR: Dilahirkan dalam keluarga besar dengan 18 adik beradik daripada enam ibu, kehidupan AR Badul dalam legasi keturunan bapa, Allahyarham AR Tompel, cukup meriah.

Biarpun dalam seramai itu, hanya beberapa anak Allahyarham Tompel mengikut jejaknya melangkah ke dunia seni, masing-masing 'sekepala' dan rapat.

Badul memberitahu, selain dirinya, lima adik-beradik yang lain turut berkecimpung dalam dunia seni iaitu Adlin, Amran, Armali, Azlan dan Anuar.

"Benar, keluarga kami memang meriah. Kalau buat kenduri rasanya cucu cicit bapa sudah boleh penuhkan khemah.

"Cuma kekangan masa selain faktor logistik termasuk ada yang tinggal di Singapura membuatkan kami jarang berjumpa.

"Bapa mendapat paling ramai anak dengan isteri ketiga yang berasal dari Perlis. Mereka dikurniakan enam cahaya mata.

"Walaupun berlainan ibu, boleh dikatakan kami rapat dan saling berhubung. Malah, baru-baru ini, kami anjurkan perjumpaan keluarga Tompel di Kemensah, Hulu Klang," katanya kepada HIP.

Keluarga besar AR Badul berkumpul di Taman Rekreasi Kemensah di Hulu Klang, baru-baru ini.
Keluarga besar AR Badul berkumpul di Taman Rekreasi Kemensah di Hulu Klang, baru-baru ini.

Badul yang mengukir nama sebagai pelakon, pengarah dan penulis disegani berkata, legasi yang ditinggalkan Tompel sentiasa dikenang anak cucu hingga ke akhir hayat.

Tambah Badul, idea mengumpulkan adik-beradik tercetus selepas berita palsu kematiannya tersebar, baru-baru ini. Berikutan itu, semua ahli keluarga termasuk di Singapura jadi panik.

"Ketika itu, kebetulan adik-beradik dan anak saudara datang dari Singapura selepas mendengar berita kononnya saya sudah tiada.

"Semuanya berlaku secara kebetulan... Alang-alang sudah sampai Kuala Lumpur, saya luahkan hasrat mahu berkumpul.

"Jadi, kami sepakat memilih air terjun Kemensah di Hulu Klang, untuk menganjurkan perjumpaan besar-besaran ini. Ketika itu, lebih 100 anak cucu berkumpul," katanya yang memiliki tujuh anak.

Badul bersama anak, Mueeza Armaya dan isteri. - Ihsan AR Badul
Badul bersama anak, Mueeza Armaya dan isteri. - Ihsan AR Badul

Badul berkata, suasana sangat meriah apabila semua adik-beradik serta anak dan cucu saudara berkumpul.

"Mereka juga mungkin mahu memenuhi hajat saya yang sedang sakit ketika itu. Ada hikmahnya desas-desus palsu itu," katanya sambil tertawa.

Mula perlahan rentak

Di sebalik fitnah liar media sosial, Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, mengaku ramai sahabat lama dan peminat bertanya khabar.

Enggan memanjangkan isu berkenaan, apa yang penting, beliau sudah sihat selepas menjalani dua prosedur angiogram di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

"Syukur Alhamdulillah, saya umpama mendapat nyawa kedua. Serangan jantung ibarat isyarat meminta saya kurangkan bekerja, melebihkan masa bersama keluarga dan terus mengingati Tuhan.

DJ Dave dan rombongan melawat AR Badul di Institut Jantung Negara. - Ihsan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air
DJ Dave dan rombongan melawat AR Badul di Institut Jantung Negara. - Ihsan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air

"Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan saya. Apabila khabar mengenai kematian saya tersebar, saya hanya berserah kepada-Nya.

"Apa pun, janji Allah itu pasti. Tidak akan terlambat atau tercepat sesaat pun jika sudah sampai masanya nanti," katanya.

Menyentuh mengenai kerja produksi, Badul berkata, serangan jantung barangkali isyarat untuk dirinya memperlahankan rentak.

Biarpun masih bertenaga, nasihat doktor supaya menumpukan perhatian terhadap kesihatan tetap menjadi keutamaan.

Badul yang meraih gelaran Pelakon Lelaki dan Sutradara Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) kelapan, bersyukur kesihatannya semakin memberangsangkan.

"Rasanya, kalau ajak saya bermain bola petang ini pun saya boleh," katanya ketika ditemui selesai prosedur angiogram kedua di IJN, baru-baru ini.

Pada 18 Disember lalu, Badul dimasukkan ke Unit Rawatan Koronori (CCU) di IJN akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, kesihatannya stabil selepas menjalani operasi pemasangan stent. Namun, beberapa hari kemudian, tersebar berita palsu kononnya Badul sudah meninggal dunia.

Serius dalam berbicara

Mengenai aktiviti semasa, Badul berkata, beliau meneruskan tugas sebagai pengarah animasi televisyen (TV), Mac & Ted untuk siaran RTM.

Pengarah Urusan, Makmur Megah Sdn Bhd, Dolly Ung (kiri) bersama AR Badul menunjukkan siri animasi yang bakal diterbitkan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Pengarah Urusan, Makmur Megah Sdn Bhd, Dolly Ung (kiri) bersama AR Badul menunjukkan siri animasi yang bakal diterbitkan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

"Kerja mengarah sudah sebati dalam hidup saya. Sudah tiga musim saya menghasilkan animasi ini... cabarannya besar.

"Namun, saya puas walau kerja berbelas-belas jam di studio sebaik melihat hasilnya. Jika tiada aral, animasi ini bakal dibawakan ke layar perak," katanya.

Ditanya apakah dirinya tidak mahu mengarahkan filem cereka, Badul berkata:

"Rindu mahu mengarahkan filem. Tetapi biarlah generasi pelapis yang menggalas tugas itu... Bukan era saya lagi," katanya.

Badul berkata, dia selesa melakukan kerja pengarahan biarpun kini terbabit dalam dunia animasi.

"Saya tidak suka menongkah arus. Minat terhadap pengarahan saya salurkan ke dalam bidang animasi sejak beberapa tahun lalu," katanya yang kali terakhir mengarahkan filem pada 1998.

Mendekati seniman serba boleh ini, nyata sisi peribadinya tidak seperti yang ditonjolkan dalam layar perak, iaitu sarat dengan humor.

AR Badul (kanan) adalah seniman serba boleh.
AR Badul (kanan) adalah seniman serba boleh.

Apabila membuka cerita, setiap patah bicara disusun dengan tertib membuatkan ramai mengakui senang mendekatinya.

Akui Badul, apa yang dilihat di layar adalah kerjanya. Malah, baginya pelawak tidak perlu memiliki watak 'gila-gila' apabila di luar atau menjadikan semua perkara sebagai jenaka.

Baginya, banyak perkara harus diambil perhatian untuk menjadi pelawak terutama mengelak isu sensitif seperti agama dan perkauman dalam kerja atau persembahan.

Perjalanan seni AR Badul.
Perjalanan seni AR Badul.

Info AR Badul

• Nama sebenar Badul adalah Armaya Aman Ramlie

• Mempunyai tujuh cahaya mata menerusi enam perkahwinan.

• Isterinya sekarang adalah Maizatul Akma Osman, 38.

• Masih aktif menulis skrip drama dan pengarah animasi bagi program TV Mac & Ted.

Berita Harian X