Khamis, 21 March 2019 | 9:00am
PELAKON, Rozita Che Wan, ketika menghadiri majlis sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Che Ta pilih pakaian lebih longgar

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, 46, mengakui cuba mengenakan pakaian lebih longgar dalam usahanya menjadi Muslimah lebih baik.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, sejak awal tahun ini, dia cuba mengubah penampilan dengan menggayakan fesyen lebih patuh syariah.

"Benar, sekarang saya sedang mengubah imej pemakaian ke arah fesyen yang lebih patuh syariah. Ia antara usaha saya bagi menutup aurat dengan lebih sempurna.

"Saya tidak mahu sekadar 'membalut' tubuh, tetapi masih berdosa sama seperti tidak menutup aurat.

"Lagipun, sudah lama saya bertudung, jadi tiba masanya saya belajar mengenakan pakaian lebih longgar pula. Saya mahu menjadi Muslimah lebih sempurna," katanya kepada BH Online.

Tambah Rozita, penghijrahan diri berlaku sedikit demi sedikit dan dia sendiri banyak belajar daripada adik-beradik serta rakan, terutama berkaitan aurat.

Kata isteri kepada aktor Zain Saidin itu, walaupun pada awalnya hati berasa berat dan tidak ikhlas, perasaan sedemikian akan berubah dan dia mula selesa dengan imejnya.

"Saya percaya, untuk berubah, diri perlu dikelilingi insan yang sama tujuan dengan kita. Adik-beradik banyak mengajar saya mengenai aurat, selain rakan yang sudah lama bertudung.

"Kita perlu sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbetulkan kesilapan diri. Saya bersyukur, orang di sekeliling saya sentiasa saling mengingati.

"Walaupun diakui pada mulanya agak sukar untuk menutup aurat dengan sempurna, lama kelamaan, dengan sendirinya rasa ikhlas menjelma. Jika pakaian tidak sempurna, saya pula akan rasa segan dengan diri sendiri," ujarnya.

Ditanya mengenai pakaian lamanya, Rozita berkata, dia akan menjualnya di laman sosial Instagram.

Berita Harian X