Jumaat, 22 March 2019 | 1:45pm
FASHA Sandha bakal menjadi isteri buat kali kedua pada akhir bulan ini. - Foto Instagram Fasha Sandha
FASHA Sandha bakal menjadi isteri buat kali kedua pada akhir bulan ini. - Foto Instagram Fasha Sandha

Fasha tak percaya bakal kahwin semula

KUALA LUMPUR: “Tak percaya saya akan kahwin lagi selepas tiga tahun lima bulan hidup sebagai ibu tunggal. Susah nak percaya, tetapi inilah kenyataannya.”

Demikian coretan pelakon sensasi, Fasha Sandha, di laman sosial Instagramnya, semalam, pada perkongsian yang turut disertakan gambar sekitar majlis sambutan hari lahir kejutan dianjurkan oleh beberapa teman baiknya.

Selain berkongsi kegembiraan bakal mendirikan rumah tangga buat kali kedua, Fasha turut menyatakan betapa dia mensyukuri hakikat dirinya sentiasa dikelilingi keluarga dan rakan baik, dalam apa juga keadaan.

“Saya bersyukur kerana memiliki keluarga dan kawan baik, kala suka dan duka.

“Semoga segala-galanya bakal dipermudahkan. Terima kasih buat semua sahabatku dunia akhirat,” tulis bintang Lara Aishah itu.

SEKITAR majlis hari lahir kejutan yang dianjurkan beberapa teman baik buat Fasha.
SEKITAR majlis hari lahir kejutan yang dianjurkan beberapa teman baik buat Fasha.

Mengenai sambutan hari lahir yang diadakan lebih awal itu, Fasha akui kejutan diusahakan beberapa teman cukup menyentuh hati kecilnya.

“Sumpah, saya memang tidak tahu nak cakap apa. Ia memang detik indah sebelum saya bergelar pengantin. Terima kasih kerana mengatur dan menganjurkan majlis ini.

“Ia sambutan berganda untuk saya yang akan bergelar isteri dan menyambut usia 35 tahun, kelak,” katanya yang dilahirkan pada 28 Mac 1984.

FASHA bersyukur sentiasa dikelilingi insan yang menyayangi dirinya.
FASHA bersyukur sentiasa dikelilingi insan yang menyayangi dirinya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu akan melangsungkan perkahwinan dengan pelakon, Aidil Aziz, di sebuah masjid di kampung halamannya di Perlis, akhir bulan ini.

Sebelum ini dia berkata, sebuah majlis resepsi kecil-kecilan akan turut diadakan di sana.

“Insya-Allah, acara besar-besaran akan diadakan di Rembau, Negeri Sembilan, di sebelah keluarga Aidil,” katanya yang ditunangkan dengan pelakon itu pada 18 November tahun lalu.

Berita Harian X