Isnin, 25 March 2019 | 9:20am
Azar berdebar menanti reaksi peminat apabila drama Nur 2 disiarkan TV3, bulan depan. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kecamlah... Saya rela'

KUALA LUMPUR: Mengaku tertekan menghidupkan watak Juita dalam sekuel drama Nur 2 yang dinanti-nantikan peminat, Azar Azmi menyerahkan kepada penonton untuk menilai mutu lakonannya.

Berusaha sehabis baik menghayati watak wanita daring yang cuba menodai Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle, Azar yang sering diberi watak antagonis, sedia dikecam jika aksinya dalam drama itu tidak memberangsangkan.

“Juita sangat berani... Dalam satu babak, dia bertindak di luar kawalan apabila cuba ‘menodai’ Ustaz Adam.

“Saya cuba melakukannya sebaik mungkin... Saya bertuah apabila pengarah dan kru banyak memberikan tunjuk ajar untuk menghidupkan karakter.

“Secara jujur, saya agak tertekan membawa watak Juita kerana banyak bermain emosi,” katanya kepada BH Online.

Azar mengaku berdebar menanti reaksi penonton apabila drama Nur 2 disiarkan TV3, bulan depan.

“Kalau saya berjaya membuatkan orang benci dan marah, itu bermakna saya mampu menjiwai watak Juita.

“Jika sebaliknya, saya perlu bersedia untuk berdepan kecaman,” katanya.

Azar tahu banyak pihak ragu-ragu dengan watak Juita dalam sambungan drama berkenaan.

“Saya hanya melakonkan watak itu... Sudah pasti semua pelakon mahu memberi yang terbaik dan saya tidak terkecuali,” katanya.

Azar yang pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010, menyinar selepas membintangi drama Mr Boss Miss Stalker arahan Heykal Hanafiah.

Drama yang diterajui Mia Ahmad dan Ashraf Muslim itu menjadi titik permulaan kepada Azar untuk menggapai impian menjadi pelakon selepas memberi tumpuan kepada dunia perniagaan.

Bakat Azar mula diperkatakan selepas tampil dalam drama Pujaan Hati Kanda bersama Remy Ishak.

8100 dibaca
Berita Harian X