Isnin, 25 March 2019 | 11:00am
Siti Saleha dan suami berharap dikurniakan zuriat, tahun ini. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Siti Saleha masih belajar kenali suami

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun membina mahligai, aktres jelita, Siti Saleha, 29, belum puas 'hidup berdua' bersama suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 33.

Biarpun pasangan sama cantik, sama padan itu berkahwin atas lafaz janji cinta, tetapi ia tetap memerlukan masa bagi menyelami isi hati dan mengenal diri masing-masing sedalam-dalamnya.

Usai akad nikah dilafazkan pada 28 Julai 2017, wanita kacukan Melayu-Inggeris itu sudah tahu tanggungjawab sebagai isteri yang tergalas di bahunya.

Baginya, bercinta dan berkahwin, dua perkara berbeza yang harus diketahui.

“Ketika bercinta, segala-galanya manis dan indah pada pandangan mata. Apabila berkahwin, kemanisan lebih dikecapi tetapi dalam suasana yang berbeza. Banyak perkara yang harus diselami mengenai suami.

“Saya dan suami masih belajar untuk mengenali diri serta cara masing-masing. Saya juga banyak membaca buku untuk mendapatkan ilmu rumah tangga.

“Dahulu, kami kenal hanya secara luaran, kini sudah duduk serumah dan tidur sebantal. Jadi, suasananya agak berlainan,” katanya kepada BH Online.

Pelakon ini akui, sewaktu bercinta, dirinya cepat marah dan beremosi hingga pernah meninggikan suara apabila berselisih faham.

“Apabila berkahwin, meninggikan suara sudah menjadi dosa. Kini, saya belajar untuk memahami apa yang suami suka atau sebaliknya.

“Saya percaya, rumah tangga pastinya harmoni dan bahagia jika kita dapat mengetepikan keegoan," katanya yang baharu sahaja pulang dari New York selepas menghadiri minggu fesyen antarabangsa.

Wanita kelahiran Basildon, England itu berkata, dia memilih untuk menumpukan perhatian pada suami dan rumah tangga sejak berkahwin. Namun, ia bukan bererti dirinya tidak lagi minat berlakon.

“Saya tahu ramai peminat mempersoalkan ke mana saya menghilang sejak berkahwin. Sudah jarang wajah saya kelihatan di kaca TV.

“Saya masih aktif berlakon, malah kini, melebarkan sayap ke luar negara apabila kerap diundang menghadiri minggu fesyen mewakili beberapa jenama terkemuka.

“Cuma, saya memberikan ruang selama dua tahun ini untuk lebih banyak dihabiskan bersama suami. Saya mahu kenal suami sedalam-dalamnya,” katanya.

Soal zuriat, Saleha berkata, dia dan suami sudah bersedia menimang cahaya mata sekiranya dikurniakan rezeki.

“Sebelum ini, saya dan suami tidak mahu terburu-buru, apatah lagi kami dalam tempoh bulan madu. Bagaimanapun, kami mula menyebut soal anak sejak akhir-akhir ini. Mungkin sudah masanya kami berusaha dan bersedia menerima orang baharu dalam hidup.

“Jika diizinkan Tuhan, saya mahukan anak tahun ini," katanya.

Aktres yang melonjak populariti menerusi drama Nora Elena dan 7 Hari Mencintaiku itu berkata, dia mula sedar kemahuan suaminya apabila mereka sah bernikah.

“Lutfi pernah membuat lawak, dia suka air tangan isteri memasak untuknya. Dia tidak mengatakan secara terus terang, tetapi saya faham, suami mahukan saya ke dapur.

“Jika tidak sibuk dengan tuntutan kerja, tugasan saya pada awal pagi adalah menyiapkan sarapan untuk suami. Ia sudah menjadi kebiasaan sejak saya kena ‘sindir’.

“Suami nampak gembira apabila saya bangun pagi dan menyiapkan sarapan. Hari ini, saya sudah pandai memasak pelbagai makanan kesukaan suami, terutama sambal belacan. Saya juga banyak belajar memasak dengan ibu mentua. Suami sukakan masakan Melayu,” katanya yang tinggal bersama keluarga mentuanya.

Menyentuh soal kerjaya yang dilihat bergerak sedikit perlahan, Saleha berkata, dia terpaksa menolak banyak tawaran drama dan telefilem sejak mendirikan rumah tangga.

“Bukan 'demand', tetapi saya sering mendapat watak dan cerita yang sama, sejak dua tahun kebelakangan ini. Saya pula memang tidak mahu melakonkan karakter sama berpuluh-puluh kali.

“Saya tahu penonton terbuai dengan watak wanita dianiaya, didera perasaan dan kerap berendam air mata. Tetapi saya pula tidak mahu melihat wanita sentiasa dilihat sebagai golongan lemah.

“Mungkin saya perlu belajar menerusi watak sebegitu pada awal pembabitan dalam lakonan, tetapi kini tidak lagi," katanya.

Katanya, biarpun lebih memilih sejak beberapa tahun ini, tetapi tawaran tetap melimpah ruah. Cuma, hanya dirinya yang teliti dalam menerima watak.

Pernah dua kali dijulang sebagai Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), masing-masing pada 2013 dan 2014, Saleha berkata, dia juga terpaksa menolak sekiranya perlu menjayakan babak di luar batasan selepas bergelar isteri.

“Watak kena rogol, atas ranjang dan melakukan babak mesra, semuanya saya kena tolak. Cukuplah... Sebelum berkahwin dahulu saya sudah melakonkan semuanya. Hari ini, hati suami yang paling penting buat saya. Saya percaya, suami tentunya tidak suka jika saya melakukan babak di luar batasan.

“Lagipun, drama Melayu tidak keterlaluan sangat dan masih selamat. Saya masih okey melakonkan babak suami isteri berpegangan tangan, tetapi tidak untuk babak atas katil. Bagi saya, berlakon sebagai suami isteri tetapi tidak berpegangan seperti pelik dan tidak realistik.

“Saya tidak mahu andai lakonan saya tak menjentik emosi penonton. Itu dikira gagal,” katanya yang akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Manuskrip Cinta, arahan Jamal Khan siaran RTM pada April ini.

Berita Harian X