Isnin, 1 April 2019 | 11:00am
ANDI giat hasilkan single sebagai persediaan sebelum muncul dengan showcase solo. Foto Faiz Anuar

Andi Bernadee mahu ikut jejak Haqiem Rusli

KUALA LUMPUR: Meskipun single terdahulu, Satu Peluang masih menjadi siulan peminat, Andi Bernadee mempunyai alasan tersendiri apabila memperkenalkan lagu terbaru, Donde.

Penyanyi yang popular selepas membuat parodi lagu Tak Tun Tuang itu berhasrat mengadakan showcase solo, terutama selepas melihat kejayaan penyanyi seangkatan, Haqiem Rusli.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu menunggu terlalu lama untuk memperkenalkan single baharu. Selepas lima bulan Satu Peluang diperkenalkan, saya tampilkan pula Donde.

“Saya perlu menghasilkan lebih banyak single untuk menaikkan lagi nama. Buat masa ini, saya belum yakin mampu menarik peminat untuk menyaksikan showcase saya kerana pilihan lagu masih terhad,” katanya.

Turut aktif membintangi telefilem yang bakal disiarkan pada musim raya nanti, Andi, 28, berkata dia yakin dengan keupayaan Donde untuk menyaingi Satu Peluang.

Diambil daripada perkataan Sepanyol yang bermaksud di mana, Andi berkata, Donde mempunyai aura berbeza yang membuatkan dia tidak jemu mendengarnya berulang kali.

“Dari proses awal rakaman, saya suka mendengar lagu ini. Sebelum ini, saya tidak pernah suka mendengar nyanyian sendiri kerana janggal melakukannya.

“Namun, Donde membuatkan saya mahu mendengar berulang kali. Itu yang membuatkan saya yakin lagu ini akan mendapat maklum balas positif peminat,” katanya.

Donde yang juga single keempatnya dihasilkan dengan kerjasama Alif dan dilancarkan pada 29 Mac lalu. Terdahulu, Satu Peluang yang diperkenalkan pada Oktober lalu meraih hampir 15 juta tontonan di YouTube.

687 dibaca
Berita Harian X