Rabu, 3 April 2019 | 2:54pm
BINTANG utama drama rantaian Nur 2, Syafiq Kyle. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Usah cepat menilai sesama manusia - Syafiq Kyle

KUALA LUMPUR: Watak Ustaz Adam dalam drama rantaian popular, Nur, mengajar bintang utamanya, Syafiq Kyle, untuk tidak menghakimi sesama manusia.

Katanya, apa juga status disandang atau dalam kelompok mana sekalipun seseorang itu berada, ia tidak harus dilihat sebagai satu perbezaan.

“Tidak kisah apa pun status seorang dan apa juga bangsa atau jantina mereka, kita tidak harus melihatnya sebagai sesuatu yang berbeza.

“Apabila kita mula melabelkan seseorang, secara tidak langsung kita akan melayan mereka mengikut label yang diberikan, sekali gus menghakimi insan terbabit.

“Sifat murni diterapkan dalam diri Ustaz Adam sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk berhenti daripada menilai sesama manusia. Kita sebaliknya perlu bersikap adil terhadap semua pihak dan melayan setiap insan sama seperti manusia lain,” katanya kepada BH Online.

Bahkan, kata Syafiq, 26, pelacur juga adalah manusia biasa dan tidak seharusnya dilayan seperti warga kelas kedua.

Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru lakonannya, Nur 2, di sini.

Tahun lalu, drama Nur arahan Shahrulezad Mohameddin berjaya mencetuskan fenomena ketika ditayangkan pada Ramadan sehingga dinobatkan sebagai pemenang Drama Rantaian Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2018.

Saat diminta reaksinya jika kisah susulan drama terbabit gagal mendapat sambutan sebaik diterima Nur, Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian ASK 2018 itu berkata, perkara berkenaan bukanlah fokus utamanya.

“Saya tidak kecewa pun jika drama ini gagal menjadi fenomena kerana saya sudah memberikan yang terbaik.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah keikhlasan dalam berkerja. Apabila kita melakukan sesuatu dengan ikhlas dan sepenuh hati, insya-Allah kita takkan kecewa,” ujarnya.

Selain dirinya, Nur 2 turut dibintangi oleh Amyra Rosli, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah ABu Bakar, Noorkhiriah, Azhan Rani, Azar Azmi dan Eyra Hazali.

Ia ditayangkan mulai semalam menerusi slot Samarinda TV3. Drama terbabit menemui penonton pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

1257 dibaca
Berita Harian X