Isnin, 8 April 2019 | 2:19pm
Antara DVD cetak rompak yang dilupuskan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada 2017. Kes penyalinan haram produk seni termasuk muzik masih berleluasa apatah lagi teknologi terkini membolehkan aktiviti itu dilakukan di hujung jari. Foto NSTP Muhammad Sulaiman

Eksklusif: Siri Satu Cetak Rompak Digital - Apa Sudahnya?

KUALA LUMPUR: Sejak era 1980-an, gejala cetak rompak karya seni seperti hasil muzik dan filem mula bertapak di Malaysia hingga meresahkan karyawan yang bergantung hidup kepada jualan dan royalti produk dihasilkan.

Lambakan produk cetak rompak yang dijual secara terbuka, misalnya kaset tiruan yang ketika itu ditawarkan pada harga serendah RM2.50, memaksa kerajaan membanteras kegiatan itu habis-habisan.

Ini termasuk menjejaki lanun cetak rompak dan individu yang membuat kerja penyalinan karya secara haram termasuk di belakang rumah, selain dalang yang dipercayai menjadi ‘pembekal’ karya asli untuk diplagiat.

Ketika itu, pelbagai kempen dianjurkan termasuk dengan sokongan artis bagi membendung aktiviti pengedaran dan penjualan produk cetak rompak merangkumi kaset, cakera padat, cakera padat video (VCD) atau cakera padat video (DVD).

Lebih tiga dekad berlalu, malangnya, masalah cetak rompak masih terus membelenggu industri seni. Lebih menakutkan, kepesatan teknologi dan kepintaran gajet yang dihasilkan manusia membolehkan kegiatan cetak rompak termasuk curi rakam dilakukan di hujung jari.

Di sebalik keterujaan menggunakan gajet selain mahu meraih perhatian sebagai individu terawal memuat naik perkongsian viral, masih ramai tidak sedar aksi dilakukan melanggar Akta Hakcipta 1987 dan mencabuli hak harta intelek.

Laporan khas minggu ini membincangkan isu cetak rompak digital yang dilihat kian parah. Perlanggaran undang-undang membabitkan cetak rompak dan hak cipta boleh merangkumi aktiviti mencakupi aktiviti memuat naik rakaman atau membuat siaran langsung melalui media sosial selain penggunaan aplikasi popular semasa.

Ramai pengguna memilih untuk melayari laman web yang menyediakan rakaman secara haram bagi menikmati kandungan secara percuma biarpun rata-rata sedar kesalahan yang dilakukan.

Baru-baru ini, kecoh apabila filem animasi karya anak tempatan, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal berdepan kes ‘curi rakam’ biarpun baru beberapa hari ditayangkan.

Filem terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang menelan RM20 juta itu, menjadi mangsa ‘curi rakam’ apabila visual lebih empat minit menggunakan telefon pintar, dimuat naik di laman sosial. Selain itu, beberapa filem tempatan lain pernah berdepan masalah sama termasuk cetak rompak hingga mengakibatkan kerugian besar.

Pernah menjadi mangsa kerakusan gejala cetak rompak, pengarah dan penerbit filem disegani, Datuk Yusof Haslam kesal melihat kegiatan cetak rompak atau lanun digital yang semakin bermaharajalela.

“Dalam kita tidak sedar, kegiatan cetak rompak mampu membunuh industri seni tempatan ketika kita sedang membangun. Takkan kita mahu membunuh karya seni anak tempatan?

“Saya pernah menjadi mangsa kegiatan cetak rompak. Saya tahu bagaimana ia memberi kesan yang besar terhadap karya dihasilkan Skop Production,” katanya kepada BH Online.

Tidak sanggup karya dihasilkan terus menjadi mangsa lanun digital, pemilik empayar Skop Productions ini mengambil tindakan mahkamah terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah menyebarkan rakaman filem Munafik 2 tanpa kebenaran di media sosial, November lalu.

Yusof berkata, kejayaannya mengheret pesalah ke muka pengadilan diharap memberi kesedaran kepada penggiat seni untuk mengambil tindakan sama.

“Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya lihat selepas mengambil tindakan mahkamah. Penyiar juga lebih berhati-hati kerana risau karya kami dicuri lanun digital.

“Pada masa depan, jika terjadi lagi, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan yang sama. Saya berharap penerbit lain berani kerana secara tak langsung tindakan kita memberi pengajaran pada orang ramai,” katanya.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Taiping, Pesuruhjaya Kehakiman, Asmadi Hussin mengarahkan defendan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah membayar sebanyak RM100,000 kepada plaintif iaitu Yusof dan anaknya, Syamsul selepas didapati bersalah menyebarkan rakaman filem Munafik 2 di laman sosial.

Sebelum ini, sebuah lagi filem keluaran Skop Productions, Abang Long Fadil 2 menanggung rugi apabila ada individu memuat naik sedutan 30 saat daripada karya arahan Syafiq Yusof itu di Instagram.

Namun, mujur klip itu dapat ditarik balik dan disekat selepas hampir sehari ia dimuat naik.

Jika dibandingkan dengan Munafik 2, filem ini menanggung kerugian lebih besar apabila hampir sebulan rakaman tidak sah itu boleh ditonton berleluasa di internet.

“Insiden cetak rompak digital memberi kesan besar pada kami. Seperti filem Munafik 2, kami tidak nafikan menanggung kerugian besar, apatah lagi selepas tayangan pada minggu ketiga, jatuh.

“Minggu pertama dan kedua, kami lihat jumlah tayangan masih lagi baik. Tetapi apabila masuk ketiga, kami nampak angka mula jatuh.

“Kita boleh lihat contoh satu lagi filem iaitu Kau Yang Satu. Kutipannya tidak sampai RM1 juta disebabkan selepas beberapa hari ditayangkan, filem ini sudah boleh ditonton di YouTube.

“Semuanya gara-gara dua individu yang membuat lintas langsung melalui laman Facebook ketika menonton filem berkenaan di pawagam,” katanya.

Penerbit filem dibintangi Aaron Aziz dan Izara Aishah dilaporkan pernah mendakwa pihaknya kerugian RM3 juta apabila semakan mendapati lebih 200,000 tontonan direkodkan sepanjang tempoh penyiaran itu.

Namun, sebaik melihat kerajaan dan pihak berkuasa mula mengambil tindakan serius terhadap kes lanun digital, Yusof mula lega.

Menurutnya, isu ini memerlukan kesepakatan antara pemain industri dan pihak berkuasa supaya inisiatif diambil tidak sia-sia.

“Saya lihat Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Persatuan Filem Malaysia (PFM) misalnya, memandang berat mengenai isu ini.

“FINAS yang di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga berazam menangani kegiatan cetak rompak ini dengan lebih serius.

“Ahmad Idham tahu masalah industri seni dan bagaimana ‘sakitnya’ menjadi mangsa cetak rompak. Diharap dengan kerjasama pihak terbabit, kegiatan cetak rompak dan lanun digital ini dapat dibendung segera,” katanya.

Yusof menambah, usaha membendung kegiatan lanun digital memerlukan kerajaan menggubal undang-undang yang lebih tegas agar dapat menimbulkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.

Sedar undang-undang melindungi hasil kreatif dan harta intelek dikuatkuasakan di Malaysia, namun, bagi Yusof, hukuman penjara dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan melakukan salinan cetak rompak di bawah Akta Hak Cipta 1987, wajar dikaji semula.

“Saya fikir kerajaan perlu menggandakan denda sebanyak dua kali ganda supaya orang ramai lebih takut. Pihak berkenaan juga perlu menghebahkan hukuman terbabit sebagai amaran.

“Pada masa sama, budaya takut atau hormat kepada undang-undang ini perlu terus disemarakkan... Barulah lanun digital tidak berani beroperasi kerana tahu kesannya,” katanya.

Selain itu, Yusof berkata, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak terutama pematuhan terhadap undang-undang.

“Ibu bapa memainkan peranan penting dalam isu ini. Saya rujuk kes curi rakam membabitkan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal. Ini mungkin banyak membabitkan anak-anak yang masih bersekolah.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu menasihati dan memantau kegiatan anak-anak.

“Jika ada pemantauan dan sekatan yang serius daripada ibu bapa, pasti ia dapat dibendung. Mungkin ibu bapa juga perlu sedar betapa seriusnya isu cetak rompak ini,” katanya.

Berita Harian X