Isnin, 8 April 2019 | 3:52pm
SELEPAS dua tahun tanpa single terbaru, Indah Ruhaila kembali mempertaruhkan Pudar. Foto IG Indah Ruhaila
SELEPAS dua tahun tanpa single terbaru, Indah Ruhaila kembali mempertaruhkan Pudar. Foto IG Indah Ruhaila

Indah Ruhaila harap tuah Pudar

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun menyepi tanya karya baharu, kehadiran single Pudar menyuntik semangat Indah Ruhaila untuk kembali mewarnai industri muzik.

Lebih bermakna lagu ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan itu turut diangkat sebagai antara lagu tema utama drama bersiri Nur 2 yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 sejak 2 April lalu.

Dilancarkan di pelbagai platform digital pada 29 Mac lalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Percayalah itu berkata, dia terharu kemunculan single terbarunya mendapat reaksi positif peminat.

“Selepas Percayalah, saya ada merakamkan beberapa single, namun percubaan terbaru ini memberikan sedikit sinar apabila ramai yang menaruh keyakinan terhadap kekuatan Pudar.

“Sebenarnya, lagu ini pernah ditawarkan untuk saya nyanyikan dalam musim pertama Nur. Tetapi, atas sebab kesihatan dan jadual yang tidak mengizinkan, saya terpaksa menolak. Tidak sangka rezeki akan kembali berpihak kepada saya,” katanya.

Bercerita mengenai lagu itu, isteri kepada Shariff Taufik itu berkata, dia cukup terkesan dengan melodi dan lirik yang dihasilkan Amylea.

“Kali pertama mendengar Pudar, hati saya begitu terusik. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila Amylea menyatakan, lagu itu memang ditulis khas untuk menterjemahkan hidup Nur.

“Saya berharap, cara penyampaian saya berjaya menterjemahkan emosi lagu itu. Sekiranya ada yang tersentuh hati mendengar lagu ini, itu sudah membuatkan saya gembira,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu Kau Yang Satu pada 2017.

Penyanyi yang mencipta nama selepas menyertai program realiti, Akademi Fantasia 2013 itu berkata, video muzik rasmi lagu itu akan dilancarkan menerusi saluran YouTube Nova Music bermula jam 9 malam ini.

Sempena pelancaran video muzik itu, Indah juga bakal tampil dengan persembahan akustik secara langsung menerusi saluran sama, bermula jam 8 malam. Membawakan lima lagu, Indah turut melayani peminat menerusi sesi soal jawab.

Berita Harian X