Selasa, 9 April 2019 | 3:46pm
Shahrulezad berpendapat isu cetak rompak boleh dijelaskan mengikut sudut pandangan agama kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syarak apabila hak orang lain diplagiat. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Eksklusif : Siri Akhir Cetak Rompak Digital - Apa Sudahnya?

KUALA LUMPUR: Merujuk maklumat dikeluarkan MUSO, iaitu syarikat teknologi global yang mengumpulkan data berbilion pelanggaran cetak rompak digital setiap hari di 196 negara, rancangan televisyen (TV) paling popular menjadi mangsa cetak rompak digital dengan 106.9 bilion kunjungan pada 2017, diikuti muzik (73.9 bilion) dan filem (53.2 bilion).

Tidak hairanlah, penularan kes cetak rompak digital dikhuatiri memberi kesan kepada produksi rancangan TV tempatan. Jika kegiatan cetak rompak atau lanun digital boleh menjejaskan kutipan sesebuah filem, drama pula boleh mengalami kemerosotan daripada nilai rating atau jumlah tontonan.

Pengarah yang popular menerusi drama Pujaan Hati Kanda dan Andainya Takdir 2, Eoon Shuhaini berkata, gejala cetak rompak memberi kesan buruk pada perkembangan industri seni tempatan. Ini kerana apabila drama ditonton melalui platform yang tidak sah, stesen TV tidak akan merekodkan rating.

“Sekiranya rating rendah, pihak TV pasti tidak mahu meneruskan drama terbabit. Ini kerana tiada permintaan tinggi penonton. Jadi, bagaimana kita mahu menyumbangkan karya yang berkualiti untuk penonton andai permintaan rendah?

“Saya faham orang ramai memilih menonton di platform seperti YouTube kerana bebas iklan... Itu daripada pemikiran penonton. Tetapi bagi kami seperti pengkarya, kegiatan itu ibarat ‘merogol’ karya kami.

“Ini pasti membuatkan kami kecewa dan sudah tentu, penat lelah kami tidak dihargai,” katanya yang turut menyifatkan cetak rompak digital sebagai barah bagi industri seni.

Pernah bertanya pada penggiat industri di luar negara mengenai perkara ini, Eoon tidak menafikan penerbit antarabangsa turut mengalami permasalahan sama.

Daripada pemerhatiannya, kerajaan dan persatuan sekerja dalam industri memainkan peranan penting dalam menangani kegiatan cetak rompak digital.

Berkongsi pengalaman melakukan penggambaran drama Sara Sajeeda di Pakistan, Eoon berkata, pihak berkuasa di negara itu sangat menitik beratkan perlindungan karya mereka.

“Biarpun kami sudah 10 hari menjayakan rakaman di sini, tiada lagi hebahan mengenai drama ini dibuat.

“Ini kerana mereka takut ada yang datang merakamkan aksi kami secara senyap-senyap. Mereka juga bimbang drama ini akan ‘bocor’ sebelum waktunya. Pada peringkat akhir penggambaran nanti, barulah mereka akan berkongsi secara umum.

“Sama juga di Indonesia, pihak berkuasa di republik itu sangat memandang berat isu cetak rompak dan menjaga hak milik pencipta. Sikap seumpama itu perlu dicontohi. Sehubungan itu, pihak berkuasa seperti persatuan penerbit perlu bersatu menangani masalah ini,” katanya.

Eoon berkata, muafakat antara persatuan amat penting dalam memperjuangkan nasib karya yang menjadi mangsa cetak rompak atau lanun digital.

“Kita ada banyak persatuan, tapi apabila tidak sekepala dan tidak bersatu menangani masalah ini, tidak jadi juga. Sehubungan itu, pihak persatuan perlu sama-sama berganding bahu,” katanya.

Sutradara drama rantaian Nur, Shahrulezad Mohameddin berkata, pemain industri perlu sentiasa mengingatkan orang ramai untuk memilih platform yang sah apabila menonton karya seni.

Menurutnya, kesedaran perlu dipupuk secara berterusan agar industri seni dapat berkembang sihat.

Shahrulezad berkata, pihak berkuasa termasuk jabatan agama perlu lebih serius dan agresif bagi melindungi pasaran karya kreatif.

“Mungkin masih ramai orang tidak tahu kegiatan cetak rompak digital salah di sisi undang-undang. Sebab itulah mereka terus melakukannya.

“Mufti atau pihak jabatan agama perlu menghebahkan hukum seseorang yang melakukan cetak rompak, contohnya menerusi kempen. Untuk masalah yang bagaikan tiada penghujung ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih serius.

“Apabila orang mula tahu, mereka akan takut melakukannya. Secara tak langsung, ia juga membantu kami sebagai penggiat seni untuk terus berkarya,” katanya.

Memerah keringat untuk menghasilkan naskhah berkualiti namun tidak dihargai, Shahrulezad berkata, situasi itu sama seperti membunuh dalam diam. Sebagai individu bersusah payah berkarya, dia sedih dan kesal dengan budaya cetak rompak digital ini.

“Saya sering mendapat pujian mengenai drama Nur, tapi apabila saya mendapat tahu ia ditonton di platform tidak sah, saya rasa seperti ditampar. Saya rasa seperti usaha saya sia-sia sahaja.

“Apabila peminat menonton menerusi platform yang tidak sah, mereka seperti tidak menyokong karya saya.

“Sekarang drama Nur boleh ditonton di aplikasi Iflix serta You Tube TV3 secara percuma. Jadi saya tidak faham kenapa orang ramai masih memilih untuk menonton di platform tidak sah hingga kita sebagai pemain industri, tidak mampu untuk bercakap lebih.

“Jika keterlaluan membuat bising, orang akan kata kenapa heboh sedangkan drama saya untuk hiburan semata-mata. Kita seperti tak boleh bersuara, sedangkan apa yang kita lontarkan itu perkara yang betul,” katanya.

Pengarah drama Budak Ijat yang dinobatkan sebagai Siri Komedi Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2017 ini berharap kegiatan lanun digital ini tidak bertambah buruk.

“Akses internet mampu dicapai menggunakan telefon bimbit berbanding komputer sebelum ini. Jadi, sudah tentu aktiviti ini lebih senang dilakukan sekarang.

“Sebagai orang Islam, kita sudah diajar bahawa mencuri itu hukumnya haram dan berdosa.

“Melihat zaman serba canggih itu, mencuri tidak hanya boleh ditafsirkan daripada segi fizikal, sebaliknya lebih daripada itu.

“Definisi mencuri itu lebih luas dan mencetak rompak pun dikategorikan sebagai mencuri kerana kita mengeksploitasi hak milik pencipta.

“Kalau betul seseorang itu beriman, dia tidak akan melakukan kegiatan seperti itu kerana dia tahu perbuatan itu berdosa. Tak kira apa alasannya sekalipun, mencuri itu tetap berdosa,” katanya.

Pelakon berpengalaman, Wan Hanafi Su turut meluahkan pandangannya dalam isu cetak rompak yang tidak berkesudahan ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, permasalahan ini tetap menjadi faktor utama yang merosakkan industri.

Menurutnya, jika tiada kesedaran dan masyarakat tidak mahu menggubah cara mereka berfikir, matilah pertumbuhan industri seni tempatan.

“Permasalahan cetak rompak tidak pernah habis, apatah lagi dibantu dengan kemajuan teknologi hari ini. Masalah yang saya lihat makin teruk adalah tabiat memuat turun drama atau filem secara percuma.

“Baru-baru ini saya lihat di internet, ada banyak drama serta filem kita yang dimuat turun secara percuma.

“Apabila seseorang itu memuat turun sesebuah karya itu dari laman seperti YouTube, dia akan menonton karya yang kurang berkualiti. Ini kerana produk yang paling bagus adalah yang ditayangkan di pawagam atau TV.

“Jadi apabila kita kembali pada sudut apresiasi seni, ini bermaksud seseorang yang berbuat demikian tidak menghargai kerja kami.

“Disebabkan itulah saya harap rakyat Malaysia boleh menggubah pemikiran mereka. Belajarlah menjadi insan bermoral dan beradab supaya industri kita tidak kekal di takuk lama,” kata Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin (ASK) 2013 ini.

Berita Harian X