Rabu, 10 April 2019 | 4:26pm
Megat semakin menyerlah selepas berduet dengan Amylea dalam lagu Tetap Kamu. - NSTP/Supian Ahmad
Megat semakin menyerlah selepas berduet dengan Amylea dalam lagu Tetap Kamu. - NSTP/Supian Ahmad

Megat dapat 'restu' Kaer rakam lagu dengan Amylea

KUALA LUMPUR: Protege kepada penyanyi, Aizat Amdan, Megat Adzuan Mazlan bersyukur, pendedahan dalam program realiti Mentor 7, tahun lalu banyak membantunya untuk mengetengahkan bakat dengan lebih berkesan.

Megat, 25, berkata lamaran daripada komposer, Farouk Roman untuk merakamkan lagu duet, Tetap Kamu bersama Amylea Azizan dianggapnya sebagai ruang terbaik memperkenalkan diri.

“Saya tidak menjangka peluang besar ini datang, tambahan pula saya masih mencari-cari tapak dalam industri muzik selepas tamat Mentor 7.

“Pada mulanya, saya diminta menyanyikan lagu Cintaku untuk dimuatkan dalam drama Nur 2. Tetapi, akhirnya saya diberi peluang berduet dengan Amylea selepas Kaer menarik diri.

“Gementar juga apabila dapat berduet dengan Amylea, tambahan pula dia dan Kaer pernah mencetus fenomena menerusi Tak Pernah Hilang. Bimbang saya tidak mampu memberikan persembahan sebaik Kaer yang lebih berpengalaman.

“Alhamdulillah, semuanya seperti dipermudahkan dan Amylea banyak menyokong serta tidak lokek berkongsi ilmu,” kata Megat mengenai sentuhan yang turut terpilih menjadi lagu latar drama Nur 2.

Megat terharu apabila Kaer turut memberikan kata semangat, malah yakin dengan kemampuannya membawakan lagu itu dengan baik. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Megat terharu apabila Kaer turut memberikan kata semangat, malah yakin dengan kemampuannya membawakan lagu itu dengan baik. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Amylea dan Kaer ketika membuat persembahan pembukaan pada malam Anugerah Juara Lagu 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Februari lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Amylea dan Kaer ketika membuat persembahan pembukaan pada malam Anugerah Juara Lagu 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Februari lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Penyanyi kelahiran Tawau, Sabah itu berkata, dia terharu apabila Kaer turut memberikan kata semangat, malah yakin dengan kemampuannya membawakan lagu itu dengan baik.

“Kami ada berkomunikasi menerusi Instagram dan Kaer turut memberikan kata semangat supaya terus berani meredah cabaran untuk menjadi penyanyi yang berjaya,” katanya.

Mengulas persaingan yang terpaksa dilaluinya, Megat berkata, dia akur, tidak dikurniakan pakej komersial seperti penyanyi baharu lain, sebaliknya hanya mempertaruhkan bakat yang ada.

“Namun, saya sentiasa berusaha memperbaiki imej untuk tampil lebih menarik di mata peminat. Dulu, saya bertubuh besar dan cuma bersandar kepada bakat untuk meraih peluang.

“Tetapi, persaingan di luar tidak sama ketika saya menyertai Mentor 7. Saya banyak mendapat nasihat dan bantuan daripada mereka yang berpengalaman untuk menyerlahkan lagi ketrampilan diri,” kata peminat Ari Lasso serta Tompi itu.

Berita Harian X