Sabtu, 13 April 2019 | 11:30am
PELAKON, Scha Alyahya, akui lebih berwaspada dalam menjalinkan kerjasama bersama pengeluar produk. - Foto Mahzir Mat Isa

Scha lebih hati-hati jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, pelakon, Scha Alyahya, mengaku lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama bersama pengeluar produk.

Scha atau nama penuhnya Sharifah Azean Syed Mahadzir, 35, berkata dia kini meneliti kontrak yang ditandatangani beberapa kali bagi memastikan tiada pihak bakal berdepan masalah.

Malah, suaminya, Awal Ashaari, turut mengingatkan Scha untuk lebih berwaspada.

“Pastinya saya tidak mahu peristiwa lalu berulang semula kerana ia memberikan pelbagai impak terhadap kerjaya, sekali gus mencalarkan nama. Sehubungan itu, saya juga melihat berkali-kali kontrak bersama jenama Christy Ng sebelum sidang media kerjasama kami ini diadakan.

“Apatah lagi, apabila dimaklumkan ada pihak yang berfikir dua kali sebelum menjalankan kerjasama dengan saya kerana terbabit dengan isu saman menyaman. Mereka bertanya sana-sini mengenai portfolio saya dan Awal kerana tidak mahu turut menjadi mangsa.

“Isu yang timbul bukan perkara remeh, sebaliknya membabitkan nama baik kami berdua. Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk membaca dan memahami kontrak supaya hak tidak dipandang mudah oleh mana-mana pihak,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama eksklusif dirinya bersama Christy Ng, di sini.

Terdahulu, Awal dan Scha mendapat ganti rugi berjumlah RM345,305 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd berhubung pengedaran serta penjualan eksklusif minyak wangi mereka.


SCHA bersama pengasas produk, Christy Ng, pada majlis pengumuman kerjasama eksklusif pelakon itu dengan jenama berkenaan di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Menyentuh kerjasama bersama pereka kasut tempatan terkenal berkenaan, Scha berkata, kolaborasi terbabit hanyalah untuk tempoh tiga bulan.

“Namun, saya bersyukur apabila dimaklumkan jumlah tempahan melebihi stok sedia ada.

:Saya hanya menjalankan tanggungjawab dengan berkongsi gambar kasut yang digayakan ke acara atau majlis. Tidak sangka ia memberikan impak sebegini rupa,” katanya yang mengutamakan keselesaan dalam bergaya.

Berita Harian X