Ahad, 14 April 2019 | 11:30am
PELAKON, Julia Farhana Marin, mengharapkan yang terbaik dalam perhubungannya dengan Erwin Dawson. - Foto Saifullizan Tamadi
PELAKON, Julia Farhana Marin, mengharapkan yang terbaik dalam perhubungannya dengan Erwin Dawson. - Foto Saifullizan Tamadi

Ibu restui hubungan dengan Erwin - Julia Marin

KUALA LUMPUR: “Memang kami kembali bersama. Dalam mana-mana hubungan sekalipun, pasti ada fasa turun dan naiknya.”

Demikian kata pelakon, Julia Farhana Marin, ketika mengulas mengenai hubungan cintanya yang dilaporkan kembali bertaut bersama aktor, Erwin Dawson.

Penghujung tahun lalu, Erwin mengumumkan percintaannya dengan pelakon Langsuir itu sudah pun terlerai. Tidak lama kemudian, Julia pula tampil mengesahkan mereka tidak lagi bersama.

Terbaru, kedua-duanya dilihat tampil sedondon ketika menghadiri malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, di Putrajaya, baru-baru ini.

“Saya faham apa yang difikirkan oleh masyarakat atau netizen di luar sana. Masing-masing akan memberikan pelbagai justifikasi apabila melihat pada perkembangan perhubungan kami.

“Saya sendiri sebenarnya tidak pernah berdepan dengan perhubungan yang terputus dan kemudian bersambung semula, seperti ini. Namun, saya tidak boleh bercakap bagi pihak Erwin.

“Begitupun saya yakin, pasangan bercinta yang lain juga pasti berdepan keadaan sama. Cuma, dalam kes kami, ia diberikan perhatian kerana masing-masing memegang status selebriti.

“Jika diikutkan, tiada apa yang menarik pun mengenai hubungan kami berdua. Namun, apabila sudah terbiasa dengan seseorang, pasti kita akan selesa dengannya dan cuba untuk bertolak ansur,” katanya.

PASANGAN pelakon, Erwin Dawson dan Julia Farhana Marin ketika menghadiri acara Anugerah DFKL 2019 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Instagram Julia Farhana Marin
PASANGAN pelakon, Erwin Dawson dan Julia Farhana Marin ketika menghadiri acara Anugerah DFKL 2019 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Instagram Julia Farhana Marin

Menyentuh soal kemunculan berpakaian sedondon pada acara berkenaan, Julia berkata, semua terjadi secara kebetulan.

“Kami sebenarnya tidak merancang pun untuk mengenakan pakaian sedondon. Hendak dijadikan cerita, apabila masing-masing bertanya mengenai undangan ke majlis terbabit, saya dan Erwin memutuskan untuk menghadirinya bersama-sama,” katanya.

Pelakon drama bersiri Setelah Cinta Itu Pergi siaran TV3 itu turut meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuk mereka.

“Kami memutuskan untuk kembali bersama bagi menyokong antara satu sama lain, termasuk dalam soal kerjaya.

“Ketika ini, kami sekadar mengikut rentak, selain terus berusaha untuk memperbaiki diri. Ibu saya juga merestui hubungan cinta yang kembali terjalin ini,” katanya sambil memberitahu, dia belum berfikir untuk membicarakan soal perkahwinan buat masa sekarang.

Berita Harian X