Jumaat, 19 April 2019 | 3:07pm
PENYANYI, Kaka Azraff, mengaku berat badannya naik sebanyak lima kilogram selepas mendirikan rumah tangga, Disember lalu. - Foto Instagram Kaka Azraff

Saya belum hamil, cuma berat badan bertambah - Kaka

KUALA LUMPUR: “Saya belum hamil. Berat badan sahaja yang naik sebanyak lima kilogram selepas berkahwin.”

Demikian kenyataan penyanyi Bukan Hal Aku, Kaka Azraff, 29, saat diminta mengulas mengenai perubahan fizikalnya selepas mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, Adam Azriff, 25, pada Disember lalu.

“Saya gemar ke dapur sejak berkahwin. Saya mahu suami menikmati masakan air tangan saya, barulah terasa nikmat berumah tangga. Tanpa sedar, badan pula mengembang,” katanya sambil ketawa ketika ditemui pada sesi fotografi bersama BH Online, di Puchong.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff bagaimanapun berkata, dia dan suami sememangnya sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

“Jika diizinkan Allah, kami mahu cepat-cepat dapat anak. Suami pernah bersuara ingin menimang cahaya mata pada usia 25 tahun, saya pula mahukan anak sebelum usia 30 tahun, tetapi sempat ke?

“Kami memang sedang berusaha untuk memperoleh zuriat, bagaimanapun saya tidak mahu menjadikannya sebagai tekanan. Apatah lagi usia perkahwinan kami pun belum mencecah lima bulan.

“Saya juga tidak meletakkan tempoh tertentu untuk memberikan ruang buat kami berbulan madu. Bagi saya, apa salahnya berbulan madu dengan membawa anak bersama?” katanya.

KAKA bersama suami, Adam Azriff, pada majlis resepsi mereka di Sungai Buloh, Selangor, Disember lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menurut Kaka, dia tidak mengamalkan sebarang petua lama dalam usaha mereka mendapatkan zuriat, sebaliknya berusaha dengan cara tersendiri.

“Saya hanya menggunakan ikhtiar semula jadi tanpa mengambil makanan, ubat atau petua lama. Jika ada rezeki untuk hamil pula, saya tidak akan berahsia, sebaliknya sedia berkongsi dengan semua,” katanya.

Berita Harian X