Sabtu, 20 April 2019 | 11:30am
VOKALIS Wings, Datuk Awie, ketika menjawab pertanyaan wakil media pada sidang media Konsert Laksamana Metal 2019 yang menggabungkan kumpulan dianggotainya dengan Bunkface, di PWTC. - Foto Rosdan Wahid

Wings ajak peminat pakai baju tradisional tonton konsert

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock tersohor, Wings, mengajak peminat yang bakal menghadiri Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings X Bunkface, 4 Mei depan, untuk sama-sama mengenakan pakaian tradisional Melayu.

Katanya vokalisnya, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, persembahan mega dengan konsep busana kembali ke zaman silam bakal mencetuskan kelainan apabila menonjolkan muzik rock berlatarkan elemen tradisi lama.

“Walaupun Wings dan Bunkface bakal mempersembahkan rangkaian lagu rock, kami ingin mengetengahkan tradisi bangsa supaya orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri keunikan busana Melayu sambil kami beraksi.

“Persalinan lama ini yang menjadi warisan bangsa dan budaya, sedangkan muzik yang kita dengar sekarang hanya ikut-ikutan serta pinjam-pinjaman. Apa lagi keaslian yang boleh kita tonjolkan?

“Konsert ini nanti bakal menjadi detik yang diingati apabila buat julung kali persembahan rock dan metal seperti dipersembahkan oleh sekumpulan laksamana Melayu. Lebih menarik kalau kita beramai-ramai gayakan persalinan sama nanti,” katanya,

Begitupun, kata Awie, mereka tidak memaksa semua penonton tampil berpakaian sedemikian.

“Kami sebenarnya enggan membuka mulut mengenai soal gaya mengikut konsep konsert ini. Sepatutnya kami mahu buat kejutan, siapa tahu mereka yang ‘sporting’ nanti dapat bawa balik hadiah?” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface, di sini.

Selain konsep bakal ditampilkan, majlis berkenaan turut mendedahkan rekaan pentas dan persediaan dilakukan bagi menghadapi hari bersejarah mereka nanti.

Sesuai busana digayakan, set rekaan pentas turut ditonjolkan secara berseni dengan mengambil latar belakang gelanggang silat, antara cabang seni mempertahankan diri warisan Melayu, sekali gus melengkapkan keseluruhan tema.

Dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bermula 8.45 malam, Awie memaklumkan antara dendangan yang pasti menarik perhatian ramai tentu sahaja daripada album sulung mereka, Belenggu Irama, yang diterbitkan pada 1987.

Berkongsi harapan terhadap konsert itu, kata Awie, pihaknya menerusi Awie Entertainment selaku penganjur menaruh keyakinan konsert di PWTC yang menjadi gelanggang pembukaan untuk tiga lagi siri persembahan jelajah mampu menghimpunkan ramai peminat setia.

“Pada 2020 nanti Wings bakal meraikan ulang tahun ke-35. Sudah tentu kami mahu jenama Wings terus terpahat kukuh di hati peminat, selain berhasrat meraikan ulang tahun kami dengan menjelajah beberapa bandar.

“Setakat ini kami bakal bergerak ke Pulau Pinang, Batu Pahat, Johor dan Jengka, Pahang. Kami juga berharap dikurniakan kesihatan dan tenaga kerana siapa tahu, selepas 10 atau 15 tahun, Wings akan bersara?

“Sebelum tutup buku, kami mahu meninggalkan legasi untuk generasi seterusnya, termasuk konsert Laksamana Metal ini supaya ia jadi tanda ingatan buat semua. Memang kami mahu setiap konsert kami unik dan berbeza daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, tiket berharga RM150 untuk kawasan berdiri dan RM450 (duduk) dijual secara manual oleh syarikatnya sendiri di bawah edaran ejen sah bagi mengelakkan penipuan atau isu berbangkit.

Sebagai tambahan, pembeli tiket RM450 berpeluang menyaksikan sesi latihan akhir sehari sebelum konsert, selain menikmati jamuan ringan dan membawa pulang barangan premium Wings. Seribu pembeli pertama tiket RM150 pula bakal menerima barangan istimewa.

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi ejen kelab peminat Sayap-Sayap Wings atau dapatkan maklumat lanjut menerusi Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap-Sayap Wings.

1131 dibaca
Berita Harian X