Sabtu, 20 April 2019 | 2:30pm
PELAWAK, Atu Zero. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Atu timang anak kedua

KUALA LUMPUR: Pelawak, Atu, selamat menimang cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan di Klang, Selangor, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Kata anggota kumpulan Zero itu, bayi lelaki yang dilahirkan secara pembedahan itu dianggap hadiah ulang tahun ke-32 isteri tercinta, Shafeeqa Johari, hari ini.

"Alhamdulillah, hadiah paling bermakna hadir dalam hidup kami sekeluarga, hari ini, sekali gus melengkapkan keluarga kecil kami dengan sepasang cahaya mata.

"Buat masa ini, kami juga sudah memilih nama untuk si kecil. Insya-Allah, ia akan diumumkan selepas tujuh hari.

"Isteri dan bayi kami dalam keadaan sihat. Jika segala-galanya dipermudahkan, mungkin esok mereka sudah boleh dibawa pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi BH Online.


ATU berkongsi berita gembira kelahiran anak keduanya di laman sosial Instagram, beberapa jam lalu. - Foto Instagram Atu

Kata Atu, dia sendiri bersedia membantu menguruskan bayi mereka walaupun sudah mendapatkan khidmat bidan terlatih bagi menjaga kedua-dua insan kesayangannya.

"Rasanya, skil saya menjaga bayi masih mantap sebab anak sulung kami baharu mencecah dua tahun. Bagaimanapun, ia perlu diasah lagi untuk menjaga orang berpantang.

"Ketika menyambut kelahiran anak pertama, isteri berpantang sendiri sambil dibantu oleh keluarga. Kali ini, kami dapatkan pakar supaya makan minum isteri lebih terurus mengikut pantang.


BERSAMA anak sulung, Sumayyah, dan isteri beberapa jam sebelum menyambut kelahiran anak kedua di sebuah pusat perubatan di Klang. - Foto Instagram Shafeeqa

"Kata isteri, dengan panduan pakar penjagaan ibu bersalin, lebih mudah untuknya mendapatkan kembali bentuk badan asal. Dia ingin cepat kurus dan lebih bertenaga," katanya lagi.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kuna Doli Sharif, 27, mendirikan rumah tangga dengan Shafeeqa yang juga pereka fesyen pada 8 Februari 2016.

1140 dibaca
Berita Harian X