Ahad, 21 April 2019 | 9:00am
PENYANYI, Andi Bernadee, pada majlis pelancaran single dan video muzik Donde di Bandar Utama. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Andi risau kes gambar bogel artis

PETALING JAYA: Rakaman video dan gambar bogel artis yang semakin kerap tersebar di alam maya membuatkan penyanyi, Andi Bernadee, lebih berhati-hati setiap kali memasuki bilik penginapan.

Bimbang kejadian sama menimpa dirinya, Andi berkata, dia akan membuat membuat pemeriksaan rapi apabila menginap di sesebuah tempat disediakan penganjur.

"Apabila beberapa teman artis dilaporkan terbabit dalam kes sedemikian, sudah tentu ia turut merisaukan saya. Justeru, setiap kali sebelum masuk ke bilik disediakan, saya akan memeriksanya terlebih dahulu dengan menggunakan Bluetooth. Saya tidak rela termasuk dalam perangkap sama.

"Manalah tahu jika ada pihak tidak bertanggungjawab memasang kamera secara sembunyi. Jadi, kalau dapat kesan sesuatu yang mencurigakan, saya akan meminta untuk menukar bilik.

"Berikutan banyak sangat gambar bogel artis yang dirakam di depan sinki, saya juga akan cuba menjauhkan diri dari tempat terbabit sebagai langkah berjaga-jaga," katanya kepada BH Online.

Penyanyi Satu Peluang itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik lagu terbarunya, Donde, di sini.

Sementara itu, mengulas keberaniannya mendedahkan separuh tubuh dalam video muzik terbabit, Andi, 27, menjelaskan, dia bukan sengaja mencari publisiti murahan, sebaliknya mempunyai alasan untuk menjayakan babak berkenaan.

"Bagi saya, ia tidak nampak seksi pun. Kebetulan, babak itu memerlukan saya mandi dalam tab, jadi penampilan tidak berbaju itu memang sesuailah dengan situasi.

“Setakat ini, saya belum mendengar sebarang komen negatif mengenai babak berkenaan daripada mereka yang sudah menonton muzik video Donde," ujarnya.

Sejak dikongsi menerusi laman YouTube pada 10 April lalu, video muzik rasmi single terkininya itu sudah meraih lebih 2.7 juta tontonan.

Berita Harian X