Isnin, 22 April 2019 | 9:00am
WATAK Juita dalam drama Nur 2 lonjakkan populariti Azar. Foto @amirnaufalphotogragphy

Badan susut gara-gara Juita

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun menanti untuk melihat bakatnya menyerlah, Azar Azmi mengecap tuah apabila watak wanita lorong yang dibawa dalam drama Nur 2 menaikkan popularitinya.

Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 30, mengakui, karakter Juita yang menambahkan lagi konflik dalam drama rantaian popular itu turut membuktikan dia mampu mempelbagaikan watak di skrin televisyen.

“Pengorbanan saya untuk merealisasikan watak Juita benar-benar berhasil. Saya sanggup potong dan warnakan rambut, malah banyak tuntutan lain yang saya terpaksa penuhi untuk menghidupkan Juita.

“Saya banyak menimba pengalaman di lokasi Nur 2. Jika ada yang perasan, pada permulaan drama, badan saya agak berisi, namun mula susut ketika pertengahan jalan cerita.

“Hendak kata tertekan, tidak juga kerana saya seronok dan puas di lokasi penggambaran. Saya makan macam biasa, tetapi saya puas apabila usaha untuk menghidupkan Juita dihargai peminat,” katanya.

Azar berkata, sebagai pelakon, dia sentiasa mencabar diri untuk terus mengasah bakat kerana mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh dan tidak hanya popular dengan watak jahat semata-mata.

“Tetapi, seandainya saya terus diberi kepercayaan untuk membawa watak antagonis, ia sebenarnya cabaran kerana saya perlu kreatif mencorakkan lakonan. Saya bagaimanapun, tidak mahu cepat selesa dengan apa yang ada.

“Saya tahu, ramai yang membenci Juita. Ada juga yang membandingkan Juita dengan watak gila-gila sebagai Fatimah yang saya bawakan dalam Pujaan Hati Kanda.

“Membaca pelbagai komen di laman sosial, terdetik juga di hati, sampai begitu sekali peminat marah dan terbawa-bawa dengan watak Juita yang menjadi perosak rumah tangga orang, sedangkan semua itu hanya lakonan,” katanya.

Azar bagaimanapun, tidak gusar dengan reaksi peminat kerana kemarahan mereka membuktikan dia berjaya merealisasikan watak Juita dengan baik.

“Saya tidak melihat komen negatif sebagai ancaman, malah saya tidak pernah takut untuk keluar rumah gara-gara menjadi Juita.

“Apabila kebencian penonton terhadap Juita membuak-buak, itu bermakna saya sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Saya harus memberikan kredit kepada Abang Ejad (Shahrulezad Mohameddin) dan pelakon gandingan lain.

“Amyra Rosli dan Syafiq Kyle juga banyak membantu saya menyerlahkan potensi yang ada. Tidak mudah sebenarnya, terutama apabila terpaksa berlakon babak panas menggoda Ustaz Adam (lakonan Syafiq),” katanya.

Untuk babak itu, Azar berkata, mereka terpaksa berlatih berulang kali kerana dia malu dan kekok melakonkannya.

“Ada ketika, kami tergelak, namun Syafiq banyak memberikan kata semangat supaya saya fokus. Setiap kali mengenangkan babak itu, saya pasti ketawa,” katanya.

3020 dibaca
Berita Harian X