Jumaat, 26 April 2019 | 1:08pm
Nurlina atau lebih dikenali sebagai Uchee tidak menduga lakonan dalam drama rantaian Nur 2 mendapat sambutan hangat peminat, biarpun menjadi ‘bidan terjun’ dalam projek itu. Foto IG Uchee Hanat

'Wongshe Wongshe' Uchee menjadi

KUALA LUMPUR: Watak jiran ‘kepoh’ atau suka menjaga tepi kain orang dilakonkan dalam drama rantaian Nur 2 yang berakhir malam tadi, memberi impak tidak terduga kepada aktres ‘bidan terjun’, Nurlina Syafiqah Zakbah.

Watak Uchee Hanat yang dihidupkan Nurlina, 29, menjadi antara karakter digemari ramai selain Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani.

Ramai tidak tahu, Nurlina yang menggunakan nama komersial Uchee dek penangan watak itu, adalah penolong pengarah bagi drama terbitan Radius One di bawah sutradara, Shahrulezad Mohameddin.

Nurlina berkata, Shahrulezad atau mesra disapa Abang Ijat menawarkan watak Uchee kepadanya secara spontan ketika berada di lokasi penggambaran drama popular siaran TV3 itu.

“Saya bukanlah pelakon tetapi bekerja di belakang tabir sebagai sebagai penolong pengarah untuk drama Nur 2.

“Abang Ijat yang tawarkan watak ini kepada saya secara spontan. Disebabkan saya sentiasa ada di lokasi, apa salahnya saya sahut cabaran ini,” katanya kepada BH Online.

Nurlina yang mendalami bidang pengajian teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaku sentiasa menjadi ‘mangsa’ Shahrulezad setiap kali mencari pelakon ‘terdesak’.

“Saya fikir sudah empat atau lima kali saya jadi ‘bidan terjun’ sebagai pelakon pembantu untuk produksi arahannya.

“Kalau perasan, saya hanya berlakon di bawah arahan Abang Ijat. Tidak ada syarikat produksi lain yang hendak ambil pelakon muka macam saya ini,” katanya.

Nurlina berkata, sudah empat tahun dia bekerja dengan Shahrulezad sebagai pembantunya.

“Saya sudah selesa dan faham dengan caranya bekerja. Abang Ijat seperti abang kandung saya sendiri.

“Jadi, apabila timbul idea spontan mencari pelakon, saya tidak kisah mencabar diri dan menimba pengalaman,” katanya yang mula menceburi dunia produksi sejak 2010.

Nurlina juga tidak menduga dialog ‘wongshe wongshe’ yang dilafazkan dalam babak bersama Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle, menjadi tular.

“Istilah itu tidak memberi apa-apa maksud. Ia adalah ‘tagline’ ketika saya memberi arahan kepada pelakon untuk melontarkan dialog.

“Kalau nak tahu, saya sebut ‘wongshe wongshe’ secara spontan ketika menjayakan babak berkenaan. Semuanya kerana saya terlupa skrip, maklumlah dialog tulisan Abang Ijat panjang.

“Lalu saya belasah apa sahaja yang terlintas dalam fikiran,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

8611 dibaca
Berita Harian X