Isnin, 29 April 2019 | 10:10am
Noorkhiriah begitu suka dengan watak Aishah yang dipegangnya dalam Nur serta menggayakan busana rekaan @hashtagsrihartamas

Noorkhiriah tak dapat lupakan Aishah

KUALA LUMPUR: Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie mengakui, sepanjang dua dekad berlakon, watak Aishah yang dibawanya dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2 begitu membekas di hatinya.

Noorkhiriah, 43, berkata, meskipun dikecam dan dibenci penonton, kesabaran Aishah sebagai isteri yang sanggup mempertahankan suaminya yang menjadi penunggang agama begitu menyentak emosinya.

“Setiap wanita yang melalui kehidupan berumah tangga pasti memahami pergolakan dalam diri Aishah. Hakikatnya, apa yang berlaku dalam kehidupan Aishah turut dilalui wanita lain di alam realiti.

“Dalam membenci, kita sebenarnya kasihan dengan Aishah yang membuta-tuli setia dan terlalu mempercayai suaminya, Ustaz Hamadi (lakonan Azhan Rani). Dia seperti mendapat kifarah atas perbuatannya dahulu yang memandang rendah terhadap, Nur (Amyra Rosli),” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui, dia sangat berterima kasih kepada pengarah drama itu, Shahrulezad Mohameddin kerana berani mencabarnya untuk memikul watak yang membawanya keluar dari zon selesa.

“Tidak semua pengarah berani melawan arus. Dia tahu kemampuan setiap pelakon, tetapi tidak mahu kami terus selesa dengan apa yang pernah diberikan.

“Dia sentiasa mencabar, malah memberi peluang kepada pelakon untuk keluar dari ruang selesa. Saya akui, watak Aishah ini ‘sesuatu’, malah saya sebak apabila Nur 2 tamat tayangannya, minggu lalu.

“Sebagai pelakon, kami sudah berusaha memberikan persembahan yang baik dan mantap. Harapan saya, mana yang baik mesejnya diambil positif dan sebaliknya, jadikan sebagai sempadan dalam hidup kita,” katanya.

Berita Harian X