Isnin, 6 Mei 2019 | 1:00pm
Uchee sedia menerima tawaran berlakon selepas penampilan dalam drama Nur 2 mendapat pujian ramai. Foto NSTP Salhani Ibrahim

Uchee berlakon filem komedi?

KUALA LUMPUR: Daripada tugas belakang tabir, tiada siapa yang mampu menduga dirinya tular di laman sosial selepas menjadi pelakon bidan terjun dalam drama popular, Nur 2.

Memegang watak sampingan, Uchee Hanat dalam drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu, tiba-tiba sahaja nama Uchee Fukada mendapat perhatian ramai.

Dialog yang dituturkan dalam babak bersama Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle turut viral. Saat ini, perkataan ‘wongshe wongshe’ digunakan oleh watak bermulut bertih itu cukup dikenali dalam kalangan peminat drama terbabit.

Boleh dikatakan, selain watak Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani yang cukup diperkatakan dalam musim kedua, karakter Uchee yang juga jiran kepada Nur (Amyra Rosli) juga menambah rencah kepada drama siaran TV3 itu. Biarpun kemunculannya tidak banyak, namun impak ditinggalkan bukan kecil.

Uchee atau nama sebenarnya, Nurlina Syafiqah Zakbah, 29, tidak pernah terfikir watak itu mampu memberi impak kepada drama terbitan Radius One berkenaan. Karakter jiran yang ‘kepochi’ atau suka menjaga tepi kain orang, selain bercakap laju, mengundang kebencian serta gelak tawa penonton.

“Jujurnya, hingga ke saat ini saya rasa semuanya seperti mimpi. Sebelum ini, saya pernah lima kali menjadi pelakon bidang terjun. Namun, watak Uchee Hanat bagai mendapat tempias daripada kehebatan drama berkenaan.

“Semuanya bermula dengan sekadar menolong kawan sebab saya sendiri sudah rapat dan kenal lama dengan Abang Ijat (Shahrulezad). Tambahan pula, sebagai orang produksi, kita faham bagaimana perjalanan kerja penggambaran. Jadi, ‘bab’ kru tiba-tiba kena berlakon sama adalah sesuatu yang normal.

“Kalau pengarah mencari pelakon dalam waktu yang singkat, memang orang terdekat seperti pekerja produksi yang akan menjadi ‘mangsa’. Boleh dikatakan, pengarah akan memetik nama sesiapa sahaja yang terlintas di fikiran atau di depan mata untuk beraksi depan kamera,” katanya kepada BH Online.

Uchee memberitahu, dia bukanlah pelakon sepenuh masa, sebaliknya bekerja sebagai pembantu pengarah bagi drama berkenaan.

“Sebagai pembantu pengarah, saya sudah selesa dan faham dengan cara Abang Ijat bekerja. Malah, saya sudah menganggap dirinya seperti abang kandung. Jadi, apabila wujud idea spontan untuk mencari pelakon, saya tak kisah untuk mencabar diri dan menimba pengalaman baharu.

“Saya pun pernah mengikuti pengajian seni persembahan dengan pengkhususan dalam bidang teater di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Jadi, asas lakonan boleh dikatakan sudah ada dalam diri,” katanya.

Ditanya mengenai perkataan ‘wongshe wongshe’ digunakan dalam dialognya bersama Syafiq, Uchee menjelaskan, ia tidak memberikan apa-apa makna.

“Perkataan itu tidak membawa sebarang maksud pun. Ia sebenarnya lebih kepada ‘tagline’ saya ketika berada di set penggambaran, ketika memberikan arahan kepada pelakon untuk melontarkan dialog.

“Ayat itu sebenarnya terkeluar secara spontan ketika melakonkan babak berkenaan sebab saya sebenarnya terlupa dialog. Maklum sahaja, dialog ditulis Abang Ijat agak panjang. Jadi, saya belasah apa sahaja yang terlintas di fikiran.

“Tugas sebagai penolong pengarah turut memerlukan saya memikirkan banyak perkara, termasuk menjaga jadual dan pelakon. Jadi, apabila tiba waktu melakonkan babak sendiri, saya kena terus bersedia. Mana ada masa nak hafal dialog, nak jaga pelbagai perkara lagi?” kata ibu kepada tiga anak ini.

Kata wanita ini, dia sememangnya seorang yang bercakap laju dalam kehidupan sebenar.

“Siapa yang kenal, mereka tahulah macam mana perangai saya. Lebih-lebih lagi sewaktu hendak memulakan penggambaran. Kalau saya sudah mula bercakap, memang ibaratnya tak boleh berhenti,” katanya.

Selepas bakatnya diberikan perhatian, tertanya juga apakah Uchee sudah mula mempertimbangkan untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa?

“Saya tiada jawapan pasti untuk soalan itu. Tetapi yang pasti, kerja sebagai penolong pengarah akan diteruskan seperti biasa. Selama ini pun, kalau ada yang perasan, memang saya berlakon dengan dengan produksi Abang Ijat sahaja.

“Lagipun, tiada rumah produksi lain mahu mengambil pelakon dengan rupa macam saya ini. Selepas tamat belajar dahulu, ada yang kata saya boleh berlakon, tetapi saya tidak yakin dan tak berasakan mempunyai paras yang menarik.

“Namun, kalau ada tawaran lakonan yang dirasakan sesuai, saya pasti akan pertimbangkan. Sekarang, ada juga produksi lain menawarkan peluang itu, cuma saya terikat pula dengan komitmen kerja produksi drama Cari Aku Di Syurga, juga di bawah arahan Abang Ijat,” katanya.

Uchee berkata, dia terbuka untuk melakonkan apa juga watak diberikan kepadanya.

“Mungkin ada yang nampak saya sesuai jadi pelakon komedi. Namun, sebelum ini, saya pernah juga membawakan watak serius.

“Saya tidak kisah sebenarnya diberikan apa juga watak kerana suka mencabar diri. Saya juga tidak bolehlah nak meminta-minta sangat kerana sedar di mana kaki ini berpijak.

“Saya ada dengar, Abang Ijat hendak menghasilkan sebuah cerita komedi dengan mengembangkan watak Uchee Hanat. Kalau jadi, saya ‘on’ sahaja,” katanya.

Dek penangan watak lakonannya itu juga, pengikut Instagram Uchee naik mendadak.

“Dahulu, akaun Instagram saya diletakkan dalam tetapan ‘private’. Ketika itu juga, saya hanya mempunyai 3,000 pengikut dalam kalangan kawan yang dikenali. Selepas drama Nur 2 disiarkan, ramai mula bertanyakan akaun Instagram saya. Lalu, Abang Ijat menyuruh saya tidak lagi menetapkan akaun laman sosial itu dalam tetapan ‘private.

“Bayangkan, pengikut saya naik mendadak sampai mencecah 30,000 orang. Pernah dalam sehari, pengikut saya boleh bertambah 20,000 orang,” katanya yang kini diikuti oleh kira-kira 52,000 orang di Instagram.

1721 dibaca
Berita Harian X