Jumaat, 10 Mei 2019 | 11:00am
SELEPAS beberapa tahun meraikan Ramadan dan Syawal di perantauan, Lana teruja dapat kembali menikmati bulan mulia itu di tanah air. Foto Azhar Ramli

Lana lepas rindu sambut puasa di tanah air

KUALA LUMPUR: Sambutan Ramadan kali ini cukup bermakna dan membahagiakan pelakon, Lana Nodin apabila kembali berpeluang meraikan bulan penuh keberkatan itu di negara sendiri.

Lana yang mendirikan rumah tangga dengan pemain bola tampar, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud pada 15 Mei 2015 berkata, sebelum ini, dia berkorban rasa apabila terpaksa meraikan bulan mulia itu di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Selalunya, memang saya berpuasa dan beraya di luar negara kerana suami terikat dengan perlawanan bola tampar. Pernah juga, saya sempat berpuasa beberapa hari di tanah air sebelum terbang ke luar negara.

“Kali ini, suami sanggup berkorban apabila tidak menerima sebarang komitmen perlawanan. Keputusannya itu menggembirakan hati saya, tambahan pula anak kedua, William Daud Mckienzie atau Billy baru pulih selepas menjalani pembedahan kerana masalah injap sempit (aortic stenosis), beberapa bulan lalu.

“Alhamdulillah, keputusan suami itu juga baik untuk perkembangan kesihatan anak kami,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Kata Lana, dia teruja menyediakan pelbagai juadah wajib setiap kali tiba bulan puasa, apatah lagi suaminya gemar menikmati masakan Melayu.

“Terubat juga rindu dapat menyediakan dan menikmati pelbagai juadah yang sememangnya dinanti setiap kali tiba Ramadan serta 1 Syawal,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Lana akan terbabit dalam festival jualan dengan memperkenalkan baju raya buat si cilik, Gi Bi yang menggabungkan nama dua anaknya, Gia Quinn McKienzie dan Billy.

“Saya dan suami amat terhutang budi dengan Institut Jantung Negara (IJN), justeru bertekad membalas jasa mereka yang berusaha keras menyelamatkan nyawa anak kami.

“Menerusi festival itu, setiap RM10 daripada penjualan baju raya akan disalurkan kepada yayasan IJN. Moga usaha kecil ini dapat membantu mengurangkan beban keluarga yang bergelut masalah berkaitan jantung,” katanya.

2557 dibaca
Berita Harian X