Selasa, 14 Mei 2019 | 10:27pm
PENYANYI, Kaka Azraff, ketika menghadiri sebuah acara di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Oktober tahun lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kaka Azraff umum hamil empat bulan

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai kehamilan Kaka Azraff, 29, terjawab apabila penyanyi itu mengumumkan sudah berbadan dua, hari ini.

Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia teruja dengan fasa baharu sebagai bakal ibu hingga sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

"Alhamdulillah, saya kini berbadan dua dan kandungan ini sudah pun berusia empat bulan.

"Sebelum mendapat tahu diri ini hamil, saya berasa pelik dan seperti ada yang tidak kena pada badan saya. Tak sangka pula apabila membuat ujian kehamilan, keputusannya positif.

"Berita gembira ini sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan saya bercampur baur. Saya teruja, tetapi pada masa sama berdebar kerana ia sesuatu yang baharu dalam hidup saya dan suami," katanya kepada BH Online.

Kata Kaka, dia merahsiakan kehamilannya sebelum ini atas permintaan keluarga selain mahu mendapatkan pengesahan doktor mengenai keadaan kandungan.

"Atas permintaan keluarga, saya tidak berkongsi berita gembira ini, sebelum ini. Lagipun, kandungan masih baharu. Setelah doktor mengesahkan anak dalam kandungan sihat, baru saya yakin untuk berkongsi dengan semua.

"Lelaki atau perempuan, saya dan suami tak kisah. Asalkan anak yang bakal dilahirkan ini sihat dan sempurna, dapat menjadi anak soleh atau solehah, ia sudah cukup menggembirakan kami," tuturnya.

Kaka dan Adam Azriff, 25, mendirikan rumah tangga pada 14 Disember lalu.

Bulan lalu, penyanyi lagu Terpulanglah itu menafikan sudah berbadan dua ketika diminta mengulas mengenai desas-desus kehamilannya.

Kata Kaka, perubahan fizikalnya selepas mendirikan rumah tangga tiada kaitan dengan kehamilan. Sebaliknya, dia menyatakan berat badannya bertambah lima kilogram selepas menjadi isteri.

Berita Harian X