Isnin, 20 Mei 2019 | 9:28pm
ENTRI dimuat naik Nelissa yang mengandungi dakwaan terhadap Ammar Alfian mengejutkan pengikut dan peminat suaminya itu. - Foto Instagram Nelissa Nezam

Nelissa dakwa Ammar curang

KUALA LUMPUR: Dakwaan dilemparkan isteri Ammar Alfian melalui entri pada Instagram, petang tadi, mengejutkan netizen dan peminat aktor bertubuh sasa itu.

Melalui perkongsian itu, Nelissa Nezam mendakwa, Ammar curang terhadapnya ketika dirinya hamil enam bulan.

Lebih mencetuskan spekulasi, Nelissa menyertakan foto alat penguji kehamilan dan tanda pagar #singlemother (ibu tunggal) dalam entri berkenaan.

Dalam entri itu, Nelissa mendakwa:

“Ramadan kali ini menguji saya dalam cara yang tidak pernah diduga. Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, saya mendapat tahu kecurangan suami ketika sedang hamil anaknya.

“Ketika mendapat tahu perkara itu, saya rasa seperti seluruh dunia hancur dan tidak mampu melaluinya. Syukur, saya temui kekuatan diri dengan sokongan keluarga dan teman rapat.”

Nelissa menambah, dia percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

“Ini kerana Allah ada perancangan terbaik untuk saya dan bayi dalam kandungan,” katanya.

Nelissa berkata, biarpun melalui dugaan getir pada Ramadan, dia berterima kasih dengan pengalaman yang mengajar diri menjadi insan lebih baik.

Ketika ini, Ammar belum memberi sebarang komen mengenai status isterinya itu.

Ammar dan Nelissa mendirikan rumah tangga pada 6 Mac 2016. Nelissa sedang hamil anak sulung mereka.

Berita Harian X