Rabu, 22 Mei 2019 | 5:00pm
DAYANG tidak kekok bekerjasama dengan Hael, biarpun peminat menaruh harapan untuk melihat mereka bersatu sebagai pasangan kekasih. - Foto Sairien Nafis

Hael faham Dayang

KUALA LUMPUR: Keserasian yang tercipta antara pasangan duet, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah memutikkan harapan di hati peminat untuk melihat kedua-dua penyanyi itu menjalin cinta.

Biarpun ramai yang mendoakan supaya hubungan mereka bukan sekadar rakan gandingan, Dayang berkata, dia tidak melihat harapan itu sebagai alasan untuk menjarakkan diri daripada Hael.

“Tidak pernah pula timbul perasaan kurang selesa kerana apa yang peminat doakan itu adalah benda yang baik. Secara jujur, saya memang selesa bekerjasama dengan Hael dan itu menjadikan kami rapat.

“Bukan mudah sebenarnya untuk mendapat rakan duet yang serasi dan memahami apa yang bermain di fikiran tanpa perlu dijelaskan. Ada kala, saya merancang untuk membuat sedikit perubahan pada susunan lagu ketika persembahan.

“Hael bagaikan memahami dan dapat menangkap apa yang saya cuba sampaikan tanpa perlu bercerita lanjut. Persefahaman itu yang mewujudkan magis ketika kami membuat persembahan,” kata Dayang.

Magis keserasian pasangan itu terbukti apabila lagu nyanyian mereka, Haram dinobatkan sebagai juara pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33), Februari lalu.

Keserasian yang ditonjolkan mereka mencetuskan tanda pagar khas dengan menyatukan nama mereka berdua, #healyang.

Sementara itu, penyanyi Lelaki Teragung itu berkata, dia merancang untuk membawa keluarganya bercuti sebelum sibuk dengan persediaan Konsert Dayang Dua Dekad yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini.

“Segan sebenarnya hendak buka mulut mengenai perkara ini, bimbang pula nanti dianggap riak. Saya akan membawa keluarga bercuti di London serta Itali pada musim raya nanti.

“Selain meredakan tekanan selepas diburu jadual kerja yang padat, kesempatan itu diambil untuk meluangkan masa bersama keluarga. Dapat juga merehatkan seketika minda dan debaran kerana tarikh konsert semakin hampir.

“Secara peribadi, Dayang sangat terkejut dan terharu dengan sambutan yang diberikan peminat. Sokongan mereka menjadi isyarat awal peminat sememangnya menantikan persembahan terbaik Dayang,” katanya.

Berita Harian X