Rabu, 22 Mei 2019 | 10:14pm
PELAKON, Ammar Alfian dan isteri, Nelissa Nezam. - Foto ihsan pembaca

Jangan buat saya macam penipu! - isteri Ammar Alfian

KUALA LUMPUR: Isteri Ammar Alfian, Nelissa Nezam, menyangkal dakwaan dia memfitnah pelakon itu dengan berkongsi paparan perbualan mereka menerusi Insta Story di Instagramnya, sebentar tadi.

Nelissa mendakwa, pelakon filem Paskal itu memutar belit kenyataannya sehingga dia kelihatan seperti mengada-adakan cerita mengenai kecurangan suami sendiri.

“Jangan sesekali memutar belit permohonan maaf saya sehingga saya kelihatan seperti penipu. Saya memohon maaf kerana tidak bersikap rasional dan berbuat demikian kerana mengutamakan anak dalam kandungan, selain kasihankan kamu.

“Apa yang saya katakan bukan fitnah. Jangan sekali-kali membuatkan saya kelihatan seperti penipu hanya kerana kamu tidak boleh berterus terang. Saya tidak memerlukan kamu untuk memaafkan saya, sebaliknya kamu perlu bimbang bagaimana cara untuk memaafkan diri.

“Inilah penakut yang bimbang penipuannya memerangkap diri sendiri. Tolong berhenti bersikap seperti kamu mangsa keadaan,” luah Nelissa.


ANTARA paparan perbualan difahamkan antara Nelissa dan Ammar yang dikongsi wanita terbabit di Insta Story, sebentar tadi. - Foto Instagram Nelissa

Dalam perbualan yang dikongsi wanita itu, Ammar dikatakan memohon maaf kerana tidak berterus terang sejak awal lagi.

Selain mengaku kesalahannya, Ammar juga dikatakan memberikan alasan merahsiakan hubungan sulitnya kerana enggan memanjangkan kemelut rumah tangga mereka.

Ammar sebelum itu memberikan kenyataan kepada media berbahasa Inggeris dengan mendakwa tuduhan terhadapnya adalah fitnah dan Nelissa sudah memohon maaf.

Terdahulu, Nelissa membuat pendedahan, suaminya berlaku curang ketika dia hamil enam bulan.

Nelissa turut menyertakan foto alat penguji kehamilan dan tanda pagar #singlemother (ibu tunggal) dalam entri yang sama.

Ammar dan Nelissa mendirikan rumah tangga pada 6 Mac 2016.

5394 dibaca
Berita Harian X