Khamis, 23 Mei 2019 | 6:02pm
AMMAR kesal isterinya memilih media sosial sebagai jalan penyelesaian kemelut rumah tangga mereka. Foto Mahzir Mat Isa

Memang saya buat silap - Ammar Alfian

KUALA LUMPUR: “Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah. Saya sudah berkali-kali meminta maaf kepada isteri, tetapi ini hukuman yang saya dapat daripada dia”.

Ammar Alfian berkata, dia juga tidak tahu mengapa isterinya, Nelissa Nezam memilih untuk mendedahkan kepincangan rumah tangga mereka menerusi media sosial.

“Saya reda dan terima kerana ini semua daripada Allah. Pada bulan Ramadan yang mulia ini, saya meminta maaf kepada semua.

“Saya adalah pendosa dan percaya Allah akan memaafkan hamba yang datang kepada-Nya. Isteri yang memilih cara penyelesaian seperti ini. Harap dia berpuas hati setelah motifnya tercapai,” luah Ammar menerusi Instagram.

Nelissa, semalam dalam satu muat naik menerusi Insta Story mendakwa, pelakon filem Paskal itu memutar belit kenyataannya sehingga dia kelihatan seperti mengada-adakan cerita apabila mendedahkan kecurangan suaminya.

Dalam satu muat naik lain, Nelissa mendedahkan paparan skrin perbualan mereka menerusi WhatsApp dan Ammar dikatakan memohon maaf kerana tidak berterus terang dengan isterinya sejak awal lagi.

Selain mengakui kesalahannya, Ammar juga dikatakan memberi alasan, merahsiakan hubungan sulitnya kerana enggan memanjangkan kemelut rumah tangga mereka.

Mengakui kecewa dengan tindakan isteri yang memalukannya kepada umum, Ammar berkata, fokusnya ketika ini adalah bayi lelaki mereka yang bakal lahir.

“Tiada benda lain yang penting. Saya sudah buat pilihan untuk berdiam diri dan selesaikan masalah ini dengan isteri, tetapi dia memilih untuk memalukan saya.

“Saya tidak akan ‘main’ permainan dia. Saya pernah beritahu sebelum ini, kamu semua tidak faham dan tidak mahu mendengar pihak saya. Jadi, saya tidak perlu jelaskan apa-apa.

“Cukup bagi saya, isteri dan ibu bapa kedua-dua belah pihak yang tahu,” luahnya lagi.

Ammar pada masa sama, turut memohon diberikan ruang untuk menyelamatkan perkahwinannya dan memaklumkan, ia adalah muat naik terakhirnya mengenai isu itu.

“Tolong hormati dan beri ruang untuk saya selamatkan perkahwinan kami. Saya harap, selepas ini, perjalanan hidup saya lebih tenang dan dekat pada Allah. Sesuatu yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Terdahulu, Nelissa dalam satu muat naik di Instagram, mendakwa suaminya berlaku curang ketika dia hamil enam bulan. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 6 Mac 2016.

2611 dibaca
Berita Harian X