Sabtu, 25 Mei 2019 | 4:52pm
DOODLE Datuk Sudirman Arshad menghiasi laman carian Google, hari ini, sempena ulang tahun kelahiran penghibur terkemuka Asia itu.

Google beri penghormatan pada Sudirman

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun kelahiran ke-65 Datuk Sudirman Arshad, Google hari ini memberi penghormatan kepada penghibur terkemuka itu dengan melakarkan karya seni alternatif, doodle, di laman carian mereka.

Karya berkenaan memaparkan lukisan kartun penyanyi lagu Terasing itu mengadakan persembahan dengan berlatar belakang lampu neon pelbagai warna yang membentuk tulisan Google.

Tulisan terbabit pula memaparkan sekali gaya tanda tangan penyanyi dan komposer yang meninggal dunia pada 22 Februari 1992 itu.

“Sudirman bekerja sebagai wartawan dan peguam sebelum muncul sebagai seorang daripada penghibur paling popular di Asia. Dia diingati kerana suara tenornya dan pernah mengadakan konsert percuma terbesar dalam sejarah Malaysia.


Antara gambar-gambar Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang terdapat pada laman carian Google.

“Kerjaya nyanyian melonjak apabila dia memenangi Bintang Radio Televisyen Malaysia, dan seterusnya menguasai carta lagu popular di Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Pada 15 April 1986, dia mengadakan persembahan di hadapan lebih 100,000 peminat di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Diangkat menggunakan kren di atas khalayak, Sudirman menghiburkan peminat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India,” kata Google di di laman www.google.com/doodles/sudirman-arshads-65th-birthday.

Sudirman yang pernah muncul dalam filem Kami itu juga, kata Google, adalah anak jati Temerloh yang terkenal dengan rancangan televisyen mingguan, memaparkan dirinya menghiburkan penonton sambil melukis potret mereka.

1773 dibaca
Berita Harian X