Jumaat, 7 Jun 2019 | 11:00am
BIARPUN sudah hampir dua dekad menyepikan diri, Mas Anizan tidak pernah lupa dunia lakonan. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Kenapa mesti nak kaitkan dengan rumah tangga?'

KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad menyepikan diri dari industri hiburan, pelakon yang mencipta nama pada era 1990-an, Mas Anizan sudah bersedia untuk kembali mencari peluang.

Sebelum ini, Mas Anizan pernah membuat kemunculan semula pada 2009 dengan membintangi drama, Senandung Si Dayang dan beberapa iklan komersial.

Selepas kembali bertemu jodoh dan melahirkan anak ketiga, Ariana Marissa, 5, wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengambil keputusan menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

Kemunculan semulanya itu bagaimanapun, mencetuskan persoalan, apakah ibu kepada Mas Aliza, 24, dan Mohd Masli Daniel, 19, hasil perkahwinan dengan Datuk Ali Bapoo sedang berdepan kemelut rumah tangga?

Hanya ketawa diasak persoalan peribadi, Mas Anizan akur, perkara itu pasti terlintas di fikiran ramai, terutama apabila pelakon yang sudah lama menyepi kembali aktif.

“Saya bahagia bersama keluarga, cuma bosan tanpa kerja apabila anak sudah besar. Anak sulung, Mas Aliza sudah bekerja di sebuah bank, manakala Daniel pula memilih kerjaya sebagai cef.

“Hanya Ariana menjadi peneman, tetapi dia juga sudah bersekolah. Ini masa yang sesuai untuk saya kembali aktif, tetapi ia tiada kaitan dengan masalah rumah tangga seperti yang difikirkan ramai.

“Saya tetap dengan pendirian, soal peribadi menjadi hak privasi yang tidak akan dikongsi,” katanya.

Mas Anizan berkata, dia sangat merindui dunia lakonan, apatah lagi melihat rakan seperjuangan seperti Zarina Zainuddin, Anne Abdullah, Aleza Shadan, Dilla Ahmad dan ramai lagi masih aktif beraksi di depan kamera.

“Melihat mereka, saya jadi bersemangat untuk kembali berlakon. Walaupun sudah lebih 20 tahun tidak aktif, saya masih mengikuti perkembangan rakan dan selalu menonton drama.

“Terkenang juga zaman sibuk berlakon dahulu. Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan dunia lakonan kerana anak-anak masih kecil,” katanya.

Wanita jelita itu berkata, sebagai permulaan, dia membintangi drama Salam Skuad sebagai pelakon undangan.

“Terbaru, saya menerima lamaran sebuah produksi untuk membintangi drama bersiri, Sara Sajeeda, arahan Eoon Shuhaini untuk slot Samarinda di TV3.

“Saya masih menunggu jadual memandangkan proses penggambaran terlebih dahulu bermula di Pakistan. Saya dijangka memasuki set penggambaran selepas Aidilfitri ini," katanya.

Mas Anizan yang kelihatan seperti tidak dimamah usia itu berkata, dia bimbang dan gusar kerana wataknya sebagai ibu kepada pelakon, Tiz Zaqyah, agak berat serta banyak menitiskan air mata.

“Risau dan gemuruh dibuatnya apabila terus mendapat watak berat yang sarat bermain emosi. Watak saya digambarkan sebagai isteri yang tertekan dan terpaksa mengikut peraturan suami.

“Saya melihat watak ini bukan karakter ibu yang biasa. Saya terima kerana naskhah ini agak mencabar,” katanya yang turut dilamar sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan.

Sementara itu, menyentuh sambutan hari raya, Mas Anizan berkata, dia meraikan 1 Syawal bersama keluarga di kampung halamannya di Teluk Intan.

“Ibu kini kurang sihat, namun saya tetap mengutamakan persiapan dan kelengkapannya, selain anak bongsu. Saya lebih suka bersederhana dan hanya membeli apa yang perlu,” katanya yang akan bercuti ke Pulau Redang pada Aidilfitri ini.

Berita Harian X