Sabtu, 8 Jun 2019 | 9:00am
SELAIN album solo, Yasin juga bakal muncul bersama Brothers mempertaruhkan single terbaru, Tiga Satu Tiga. Foto Aziah Azmee

Yasin setia bersama Brothers

KUALA LUMPUR: Penyanyi Yasin Sulaiman, memaklumkan kumpulan Brothers masih belum berkubur, sebaliknya mereka tetap aktif menerima pelbagai tawaran persembahan.

Yasin, 44, bagaimanapun, akur jika ada pihak beranggapan kumpulan itu sudah tidak lagi aktif memandangkan mereka agak menyepi selepas menyertai program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua, tahun lalu.

“Tanggapan itu mungkin hilang selepas single terbaru kami, Tiga Satu Tiga keluar tidak lama lagi. Untuk lagu itu, kami bekerjasama dengan kumpulan Mirwana.

“Lagu ini menjadi hadiah kepada peminat yang merindui kemunculan terbaru kami. Jangan risau kami masih aktif, cuma mungkin lebih fokus kepada kerja di balik tabir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yasin berkata, dia juga akan tampil dengan album terbaru bersama Warner Music Malaysia.

Terdahulu, Yasin melancarkan single, Malaika yang dihasilkan khusus untuk anak keduanya yang kini berusia 11 tahun.

“Malaika diperkenalkan sebulan sebelum puasa. Ia adalah single pertama daripada album yang memuatkan lapan lagu itu.

“Hampir dua tahun saya ambil masa untuk menyiapkan album solo keempat ini. Album ini berbeza sedikit kerana ia banyak cenderung kepada genre pop dan muziknya juga lebih moden.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya cari kelainan. Andai sebelum ini, saya begitu sinonim dengan World Music, tetapi kali ini saya cuba mencari pembaharuan,” katanya.

Enggan terlalu memikirkan soal sambutan, Yasin berkata, dia tidak akan berputus asa seandainya album itu tidak mendapat perhatian peminat.

“Selagi terdaya dan mempunyai minat mendalam terhadap muzik, saya akan tetap menghasilkan album,” katanya.

Menyentuh sambutan Syawal, bapa kepada dua cahaya mata ini meraikannya di Kajang, Selangor bersama keluarganya, seterusnya ke Bangsar menziarahi keluarga mentuanya.

460 dibaca
Berita Harian X