Sabtu, 8 Jun 2019 | 1:00pm
VOKALIS Floor 88, Ayie Elham, ketika menghadiri majlis iftar artis naungan MVM Production dan RUSA Music di Hotel Tamu Kuala Lumpur. Foto Mahzir Mat Isa
VOKALIS Floor 88, Ayie Elham, ketika menghadiri majlis iftar artis naungan MVM Production dan RUSA Music di Hotel Tamu Kuala Lumpur. Foto Mahzir Mat Isa

Ayie amal petua datuk jaga suara

KUALA LUMPUR: Setiap penyanyi pasti mempunyai petua tersendiri bagi memastikan vokal masing-masing berada pada tahap terbaik ketika mengadakan persembahan.

Vokalis utama kumpulan Floor 88, Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie Elham, 20, umpamanya, berpegang pada amalan datuknya sekiranya terbabit dalam mana-mana persembahan.

“Saya mengamalkan pengambilan air suam bersama halia yang dihiris halus untuk menjaga suara. Ia petua yang diajar oleh datuk saya dan dijadikan amalan kami sekeluarga.

“Biarpun hari ini banyak kaedah lebih moden diperkenalkan, saya masih mengikut rahsia yang turut diamalkan oleh datuk, sejak dahulu.

“Dari segi pemakanan pula, tidak banyak pantang larang saya amalkan. Saya sendiri tidak mengikuti banyak petua, cuma dalam bab menjaga suara, kena beringat juga. Begitupun, kadang kala soal kesihatan bukan berada dalam bidang kuasa kita,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Floor 88 bakal tampil dengan single terkini berjudul Hutang yang turut menyelitkan elemen muzik tradisional.

“Kami masih lagi mempertaruhkan muzik rancak untuk memikat hati peminat, cuma kali ini diselitkan sama irama Kuda Kepang bagi memberikan kelainan. Ia single keempat kami selepas tampil dengan lagu raya, Kemaafan Di Hari Raya.

“Biarpun ada segelintir pihak yang mempersoalkan lirik lagu kami yang kebanyakannya kelihatan ringkas, kami mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara berkenaan. Apa yang penting, selain dekat dengan pendengar, kami turut menyelitkan mesej positif di dalamnya,” kata Ayie.

Selain dirinya, Floor 88 yang kini popular dengan lagu duet, Roadblock Hatiku, bersama Baby Shima turut dianggotai oleh Eric Fuzi selaku pemain keyboard, Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Akram (dram) dan Falique (bes).

Berita Harian X