Ahad, 9 Jun 2019 | 11:00am
PELAKON, Nonny Nadirah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Nonny, bekas suami berkawan baik

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nonny Nadirah, membuktikan perceraian tidak memutuskan persahabatan dengan bekas suaminya, Mustain Adnan, apabila beraya di kediaman lelaki itu.

Katanya, dia berkunjung ke rumah bekas suami bagi memenuhi permintaannya untuk meraikan Syawal dan mengeratkan silaturahim.

"Ini bekas suami saya. Nasiblah hari raya, kalau tak, tidaklah saya tengok muka dia lagi. Dia cakap nak rapatkan silaturahim, jadi dia suruh datang beraya.

"Kalau ikutkan, tiada ‘mood’ saya nak beraya. Nak balik kampung pun tak nak. Saya 'team move on' dan 'team broken'.

"Tetapi tiba-tiba kena jumpa dia balik. Takkanlah dia 'team' saya," seloroh pelakon itu menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagramnya, kelmarin.

Dalam rakaman berkenaan, Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 30, dilihat turut mengusik kakitangan sebuah stesen televisyen itu yang kerap tertawa dengan gelagatnya.

"Berkawan lebih baik. Allah maha baik. Doa sahaja yang baik-baik," kata Nonny.


VIDEO yang dikongsi Nonny Nadirah di laman sosial Instagramnya, kelmarin, mendapat perhatian ramai warganet.

Nonny dan Mustain mendirikan rumah tangga pada 18 Mac tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah, selepas sembilan tahun berkenalan.

Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila tidak lagi tinggal sebumbung sejak Oktober tahun lalu. Namun dia enggan mendedahkan tarikh perceraian mereka.

Sementara itu, dalam perkongsian sama, Nonny turut mendoakan supaya insan yang pernah bertakhta di hatinya itu dipertemukan jodoh.

"Tiada jodoh antara kami. Jodoh tak panjang. Sembilan tahun berkawan, tapi kahwin tak sampai setahun.

"Pertemukanlah dia dengan pasangan yang terbaik daripada aku," katanya lagi dalam video berdurasi hampir sembilan minit itu.

Rata-rata peminat memberikan komen positif terhadap video yang meraih kira-kira 120,000 tontonan itu.

1278 dibaca
Berita Harian X