Isnin, 10 Jun 2019 | 11:17am
HASRAT Fasha dan Aidil untuk menimang cahaya mata tidak kesampaian apabila pelakon itu keguguran. Foto IG Fasha Sandha

Fasha Sandha keguguran

KUALA LUMPUR: Hanya sempat menikmati seketika debaran untuk kembali menimang cahaya mata, Fasha Sandha akur menerima kenyataan pahit apabila kandungannya gugur.

Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram, pagi tadi, Fasha tidak mampu membendung kesedihan, selain memohon maaf kepada suaminya, Aidil Aziz dan dua anaknya apabila impian untuk menerima ahli baharu dalam keluarga tidak menjadi kenyataan.

“Saya dan suami akan terus berdoa serta berusaha, semoga ada rezeki lagi untuk hamil masa akan datang. Insya-Allah, kita akan lebih kuat.

“Terima kasih Allah kerana menumpangkan ‘anak syurga’ ini ke dalam rahimku, walaupun hanya untuk seketika,” tulisnya.

Fasha yang mengumumkan kehamilannya pada Ramadan lalu mengakui, keguguran berlaku mungkin kerana dia terlalu aktif.

“Sebelum cuti beraya, doktor sudah berpesan supaya banyakkan berehat dan jangan terlalu lasak.

“Saya tak dengar cakap doktor supaya jangan banyak bergerak ketika hari raya. Saya naik turun kereta api, kapal terbang, jalan laju dan buat kerja sampai selalu terlupa ada bayi kecil dalam perut.

“Saya terlalu aktif sampai lupa kandungan awal memerlukan banyak rehat. Saya tahu diri ini bukan ibu yang terbaik,” kongsinya.

Fasha juga berterima kasih kepada pengikutnya yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya apabila mendapat tahu dirinya hamil.

“Terima kasih atas doa sebelum ini. Saya amat sedih untuk memberitahu yang saya keguguran Semoga semua dapat mendoakan saya dan suami kuat menempuhi ujian ini,” katanya.

Fasha dan Aidil, 30, diijabkabulkan pada 30 Mac lalu. Ia adalah perkahwinan kedua bintang Anak Halal itu. Menerusi perkahwinan pertamanya, Fasha dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Berita Harian X