Rabu, 12 Jun 2019 | 5:40pm
A RAHMAN menerima kunjungan Datuk M Nasir ketika dirawat di HKL, baru-baru ini. Foto IG Datin Fadilah Mansor

Jangan rakam gambar, video abah - Khir Rahman

KUALA LUMPUR: Pelakon Khir Rahman memohon mereka yang melawat bapanya, Datuk A Rahman Hassan supaya tidak merakamkan gambar atau video untuk dikongsi kepada umum.

Khir berkata, permintaan itu dibuat bagi menghormati perasaan keluarganya yang sedang berduka kerana keadaan bapanya yang masih belum stabil.

“Saya mohon kerjasama semua untuk tidak merakam sebarang gambar atau video beliau,” katanya dalam satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Khir berkata, biarpun bapanya masih bergantung kepada mesin pernafasan, mereka mengizinkan pelawat untuk menziarahi penyanyi era pop yeh-yeh itu.

“Buat semua yang mengenali abah, khususnya teman rapat dan rakan seperjuangannya, boleh menziarahi beliau yang sedang dirawat di Wad ICU, Hospital Ampang.

“Abah kini disokong mesin pernafasan, selain ubat-ubatan untuk terus bertahan. Saya tidak pasti sampai bila, namun berdoa perjalanannya dipermudahkan,” katanya.

Penyanyi kumpulan Orkes Nirwana berusia 73 tahun itu dikejarkan semula ke hospital, malah kelmarin selepas tidak sedarkan diri akibat masalah jangkitan kuman pada paru-paru, selain lemah jantung.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3.30 pagi akibat masalah jantung, sebelum dibenarkan sehari sebelum 1 Syawal untuk meraikan hari raya di kampungnya di Larkin, Johor.

5697 dibaca
Berita Harian X