Jumaat, 14 Jun 2019 | 2:38pm
ERRA berharap permohonan maaf yang dibuat akan menghentikan perbalahan antara dirinya dan Umie Aida. Foto Khairul Azhar Ahmad

Sakiti hati Umie Aida, Erra Fazira mohon maaf

KUALA LUMPUR: Susulan spekulasi mengaitkan dirinya berselisih faham dengan teman baiknya, pelakon Datin Seri Umie Aida, primadona filem Melayu, Erra Fazira tampil memohon maaf, sekali gus berharap isu antara mereka selesai.

Pelakon berusia 45 tahun itu membuat permohonan maaf menerusi laman sosial, Instagram, tengah hari tadi, pada masa sama, memohon perbalahan antara mereka tidak berpanjangan.

“Kepada semua, saya mohon maaf diatas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Umie.

“Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya mengecewakannya lagi buat kali ketiga. Umie memendam perasaan dan pernah menghantar mesej secara peribadi dengan baik,” tulisnya.

Tambah pelakon filem Polis Evo 2 itu, dia juga berharap pengakuannya itu dapat menghentikan perbalahan semua pihak, termasuk warganet.

Erra juga berkata, apa yang terjadi itu memberi pengajaran besar, sekali gus membuka ruang untuk dia memperbaiki kesilapan diri pada masa akan datang.

“Umie jika tiada bukti, tidak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini dapat menghentikan semua perbalahan. Saya belajar daripada kesilapan dan akan memperbaiki kekurangan diri.

“Ternyata saya banyak kekurangan dan harus terus baiki diri. Saya mohon maaf sekali lagi pada semua, termasuk Umie,” katanya.

Spekulasi perang dingin antara dua nama popular itu tercetus apabila Umie beberapa hari lalu memuat naik luahan hatinya mendakwa, dikhianati sahabat baiknya sendiri.

Meskipun tidak menyebut gerangan individu yang dimaksudkan, pelbagai pihak membuat tanggapan ia ditujukan kepada Erra, terutama apabila masing-masing tidak lagi mengikut antara satu sama lain di laman sosial.

Berita Harian X