Ahad, 16 Jun 2019 | 3:34pm
Komen berbunyi ‘sudah maafkan tapi tak mampu berkawan semula’ yang dilayangkan Umie kepada seorang pengikut di laman sosial yang merujuk kepada krisis antara dirinya dan Erra, bagai menunjukkan hubungan dua sahabat karib ini masih belum pulih sepenuhnya.

'Sudah maafkan tapi...'

KUALA LUMPUR: Ketika peminat berharap hubungan Erra Fazira dan Datin Seri Umie Aida yang hangat diperkatakan kembali pulih, namun apa yang dikongsi bintang filem Dukun itu dalam reaksi balas kepada seorang pengikut Instagram (IG), bagai menafsirkan sebaliknya.

Dalam catatan yang dilayangkan kira-kira empat jam lalu, Umie menyebut:

“Saya sudah memaafkan tapi tak mampu berkawan semula... Maaf.”

Luahan itu bagai memberi petunjuk kemelut antara dua sahabat baik ini belum berkesudahan, biarpun masing-masing sudah bersemuka dengan Erra memohon maaf atas kesilapannya.

Beberapa hari lalu, Umie mendedahkan di laman sosial, dirinya didakwa dikhianati teman karib sendiri, lantas mengejutkan ramai pihak.

Ketika itu, biarpun tidak menamakan individu terbabit, ramai yang menyangka sahabat karib yang dimaksudkan adalah Erra. Apatah lagi, masing-masing dilihat tidak lagi mengikut antara satu sama lain di IG.

Kelmarin, plot drama dua bintang jelita ini sampai ke kemuncak apabila Erra membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Umie. Ketika permohonan maaf itu dibuat, mereka difahamkan bertemu di kediaman isteri Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan itu.

BH Online difahamkan, perjumpaan itu sebagai tanda mereka mahu meleraikan kekusutan serta enggan lagi memanjangkan cerita. Video pertemuan itu dikongsi Umie melalui IG Story, semalam.

Mengiringi rakaman itu, Umie berkongsi:

“Semua salahkan saya kerana tak maafkan dia (Erra)... Ya Allah.

“Sekian terima kasih dan harap netizen tidak bercakap mengenai isu ini lagi. Semoga kita semua di dalam rahmat-Nya... Amin.”

Sehingga hari ini, Erra masih mengunci mulut daripada berkongsi cerita sebenar antara mereka. Malah, Erra menutup ruang komen di laman sosial bagi mengelak perbalahan dalam kalangan pengikut.

Berita Harian X