Selasa, 18 Jun 2019 | 11:45am
SERINA mengambil keberkatan Syawal untuk memulakan langkah baharu dengan berhijab. Foto IG Serina Redzuawan

Doakan saya istiqamah - Serina

KUALA LUMPUR: ‘Doakan saya istiqamah,” itu permintaan pelakon, Serina Redzuawan selepas mengumumkan dirinya sudah berhijab menerusi laman Instagram, semalam.

Serina, 36, berkata dia membuat keputusan untuk bertudung sempena mengambil keberkatan Syawal yang masih diraikan.

“Alhamdulillah, sempena Syawal yang mulia, saya mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan saya sudah berhijab.

“Memang bukan mudah membulatkan tekad, perlu ada pengorbanan dan guru yang memberi tunjuk ajar. Selain itu, kata semangat dan dorongan daripada keluarga serta sahabat tersayang juga membantu saya untuk terus istiqamah,” kata pelakon drama Akademi Polis itu.

Anak kepada cef selebriti, Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu berkata, dia enggan mempersia-siakan hidayah yang diberikan Allah apabila digerakkan hati untuk melunaskan tuntutan terhadap wanita Islam.

“Selalu orang bercakap, hidayah itu milik Allah dan apabila pintu hati sudah dibuka, jangan dipersia-siakan.

“Saya kena kuatkan hati ini dan pilih kawan yang betul untuk dijadikan pendorong supaya terus istiqamah dengan keputusan yang dibuat. Doakan saya,” katanya.

Susulan perkongsian itu, ruangan komen di Instagram pelakon yang popular menerusi filem Mr Cinderella dan Hingga Hujung Nyawa itu dipenuhi pelbagai reaksi positif, termasuk daripada rakan selebriti seperti Zarina Zainuddin, Zakiah Anas dan Tunku Hanis.

Selain berlakon, ibu kepada Tristan Tareef O’luanaigh, 8, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 7, itu juga aktif menceburi dunia perniagaan.

5115 dibaca
Berita Harian X