Selasa, 18 Jun 2019 | 7:53pm
ZED dan isteri menyambut kelahiran anak kembar perempuan, tengah hari tadi. Foto IG Zed Zaidi

Zed Zaidi dapat anak kembar

KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi bersyukur apabila isterinya, Natalia Mustafa Kamal selamat melahirkan anak kembar perempuan, tengah hari tadi.

Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 39, berkata, isterinya melahirkan bayi mereka menerusi pembedahan dan bersyukur semuanya berjalan dengan baik.

“Kembar saya itu dilahirkan sekitar jam 1.33 tengah hari tadi. Alhamdulillah, isteri dan anak sihat serta baik-baik belaka. Saya anggap kelahiran bayi kembar ini sebagai hadiah istimewa sempena Hari Bapa,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama Sembilu Kasih itu mengakui, pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan doktor mereka bakal menimang anak kembar.

Apatah lagi, salasilah keluarga kedua-dua belah pihak tidak pernah mempunyai rekod kelahiran anak kembar.

“Ada yang kata, kami membuat proses persenyawaan luar rahim atau IVF. Tidak mungkin kerana proses itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Ramai juga yang meminta petua untuk mendapat anak kembar. Selain rezeki daripada Allah, saya juga amalkan minum susu setiap hari.

“Kami tidak pernah merancang, tetapi selepas tujuh tahun menanti, Allah menghadiahkan kami bayi kembar. Alhamdulillah,” katanya.

Zed dan Natalia mendirikan rumah tangga pada 29 April 2011. Pasangan ini terlebih dahulu dikurniakan anak lelaki, Ryan Zikri yang kini berusia 7 tahun.

3633 dibaca
Berita Harian X