Rabu, 19 Jun 2019 | 8:00am
AYU mendakwa sudah diceraikan Radhi pada 25 Mac lalu. - Foto Instagram Ayu dan Ghazali Kori (NSTP)

Radhi, Ayu sudah bercerai?

KUALA LUMPUR: Isteri kepada vokalis OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri, mendakwa penyanyi terbabit sudah melafazkan talak terhadapnya pada 25 Mac lalu.

Justeru, Nur Shahira Ayu atau Ayu, 25, menjelaskan, dia tidak mengetahui tujuan Radhi atau nama penuhnya Muhammad Radhi Razali memuat naik gambar lama mereka berdua, sedangkan tiada apa-apa ikatan lagi antara dirinya dengan lelaki berkenaan.

"Radhi sudah melafazkan cerai terhadap saya pada 25 Mac lalu. Malah, lafaz cerai akan disahkan menerusi prosiding di mahkamah dalam masa terdekat.

"Jujurnya, saya tidak mahu membuka mulut mengenai status perkahwinan kami, namun ramai yang bertanya kerana Radhi banyak memuat naik gambar lama saya dan dirinya. Malah, ada juga yang keliru sama ada saya masih berhijab gara-gara gambar berkenaan.

"Kami juga sudah lama tidak tinggal sebumbung, namun masih berkomunikasi dengan baik demi anak-anak. Begitupun, biarlah punca perpisahan tidak dikongsikan kepada umum kerana ia bersifat terlalu peribadi," katanya kepada BH Online.

Ayu yang kini tinggal di kediaman ibu bapanya di Kota Damansara bersama-sama anak mereka, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3, juga mendakwa, dia tekad untuk tidak lagi meneruskan perkahwinan berkenaan.

Radhi, 41, dan Ayu berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Sebelum ini, penyanyi itu berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan terbabit, mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, yang kini berusia 14 tahun.

5307 dibaca
Berita Harian X